Dah jadi macam satu trend bila ada segelintir masyarakat kita yang melayan drama-drama bersiri televisyen setiap hari.

 

Bukan nak kata tak bagus, tapi apa yang kami lihat ramai juga yang memberikan komen negatif tentang drama Melayu masa kini.

 

Persoalannya, sejauh mana kebenaran kata-kata yang dilemparkan netizen ini?

Untuk menjawab segala tanda tanya berkaitan dengan isu ini, REMAJA tertarik dengan pendapat yang dikongsi oleh thepatriots.asia tentang perbezaan yang di antara drama Jepun dan Melayu.

 

Jom kita cuba hadamkan apa yang dikatakan oleh brother ni dan hendaklah diingatkan bahawa ini hanyalah sekadar pendapat peribadi saja. Mungkin korang juga punya pendapat yang tersendiri.

 

Dari budaya hiburan pun kita boleh memahami sifat sesebuah masyarakat. Ini namanya ‘sociology of culture’.

 

Kalau korang perhatikan, setiap drama Jepun akan menceritakan tentang satu profesion atau pekerjaan.

 

Great Teacher Onizuka (1998) bercerita tentang cikgu.

 

 

Shomuni (1998) tentang office lady.

 

Hero (2001) tentang pendakwa raya.

 

Engine (2005) tentang pemandu F3000.

 

Nodame Cantabile (2006) tentang pemain muzik klasikal.

 

 

Osen (2008) tentang pengusaha restoran.

 

Hanzawa Naoki (2013) tentang banker.

 

Doctor-X (2012/2013) tentang doktor.

 

Sampai pemain sukan polo air pun ada: Water Polo Yankees (2014). Punyalah ‘niche’.

 

Eh, tapi drama Melayu pun ada kan? Ada kapten (Sayangku Kapten Mukhriz), ada pilot (Suri Hati Mr. Pilot), ada bomba (Abang Bomba I Love You), ada wedding planner (Cinta Si Wedding Planner). PTD pun ada (Ariana Rose).

 

 

Tapi bezanya, drama Melayu tak memberi gambaran langsung tentang selok belok sesebuah profesion atau pekerjaan.

 

9 dari 10 drama Melayu mempunyai jalan cerita yang sama: watak lelaki utama seorang anak orang kaya yang sombong, watak perempuan utama seorang anak orang biasa-biasa atau orang susah. Dua bertemu secara kebetulan. Dan secara kebetulan mereka berkahwin. Mula-mula tak suka, kemudian jadi suka. Cinta mereka diuji dengan mak mertua yang pandang rendah terhadap watak perempuan utama, dan bekas kekasih watak lelaki utama cuba jadi pihak ketiga. Tapi apa-apa pun happy ending.

 

Apa yang istimewa dengan pilot, kapten, bomba, wedding planner, kita tak tahu. Sebab itu bukan fokus cerita.

 

Drama Jepun pula ‘highlight’ suka duka, cabaran dan kesusahan yang dihadapi oleh setiap anggota lapisan masyarakat.

 

Sebagai seorang PTD yang berkhidmat di MITI, saya pula tertarik dengan drama Jepun yang berjudul ‘The Summer of the Bureaucrats’ (官僚たちの夏 – Kanryotachi no Natsu).

 

Drama tahun 2009 ini bercerita tentang kehidupan birokrat atau penjawat awam yang berkhidmat di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Jepun (MITI, sekarang dah tukar nama jadi METI).

 

MITI merupakan kementerian yang paling berprestij di Jepun sebelum 1990-an. Orang panggil ‘Mighty MITI’. Siapa nak jadi PM kena jadi menteri MITI terlebih dahulu.

 

Cerita itu diadaptasi dari kisah benar, berdasarkan hidup Shigeru Sahashi yang berkhidmat sebagai ‘Jimu Jikan’ MITI dari tahun 1964-1966. Jimu Jikan ni macam KSU (Ketua Setiausaha), pangkat penjawat awam tertinggi dalam setiap kementerian.

 

 

Drama ini memaparkan dilema kehidupan penjawat awam yang tersepit antara kepentingan umum, prosedur, kepentingan ahli politik dan prinsip peribadi. Benda ini kebanyakan orang Malaysia tak faham, jadi mudah bersangka buruk dengan penjawat awam.

 

Watak utama drama ini, Shingo Kazakoshi menjadi sasaran ahli politik kerana menentang dasar liberalisasi perdagangan yang akan merugikan industri tempatan Jepun.

 

Akibat campur tangan politik, Kazakoshi tidak dinaikkan pangkat sebagai Jimu Jikan walaupun dah sampai giliran beliau berdasarkan senioriti. Beliau dilangkaui oleh junior yang pro-liberalisasi. Malah beliau diturunkan pangkat dan akhirnya ‘direhatkan’.

 

Bahagian yang paling ‘touching’ ialah solidariti yang ditunjukkan oleh kakitangan MITI terhadap Kazakoshi. Walaupun Kazakoshi seorang bos yang tegas dan kekadang menakutkan, tapi prinsip dan integriti beliau mengingati para pegawai MITI tentang misi dan peranan mereka sebagai pembela kepentingan umum.

 

Saya boleh ‘relate’ dengan drama ini. Drama ini menjadi pembakar semangat malah pedoman saya sepanjang menjadi seorang PTD.

 

Drama Jepun pendek (hanya ada 10 episod) tapi padat, mesejnya jelas dan buat kita berfikir. Ia membantu kita membina empati terhadap orang yang lain pekerjaan dan lain latar belakang dengan kita. Empati adalah antara faktor yang menyumbang kepada perpaduan masyarakat Jepun.

 

Drama Jepun adalah seni. Drama Melayu pula sekadar hiburan untuk gelak tawa.

 

Bukan tak boleh berhibur. Saya layan gak cerita-cerita Akasia. Minat gak dengan lakonan Nelydia Senrose. Cuma kita boleh pergi lebih jauh lagi. Kita kan generasi TN50.

 

Lain kali saya bedah drama Korea pulak.

 

Setuju atau tak, apa pula pendapat korang?

 

Sumber: thepatriots.asia