Lebih setahun menyulam cinta, 6 Mei 2017 menjadi saksi penyatuan dua hati milik Dazrin Kamarudin dan Nur Fazulin Razali dalam satu majlis yang berlangsung penuh meriah bertempat di salah sebuah hotel di Melaka.

Mengambil keputusan untuk menamatkan zaman bujangnya lebih kurang sebulan sebelum majlis pernikahan berlangsung, membuatkan persiapan dibuat pada saat-saat akhir. Namun Dazrin bersyukur segala perancangan yang dibuat walaupun dalam masa yang singkat dipermudahkan dan berjalan dengan lancar.

“Akhir bulan Mac saya beritahu ibu saya dah bersedia untuk menamatkan zaman bujang. Memang gembira ibu saya dan terus menyatakan untuk melangsungkan pernikahan saya pada bulan Mei. Persiapan yang dibuat memang tak lama kerana semuanya sibuk. Jadi saya dan ibu pilih tarikh yang sesuai dan pastikan semua orang ada pada hari pernikahan saya itu.

“ Pada asalnya saya ingin melangsungkan pernikahan pada 10 Mei sempena hari jadi saya yang jatuh pada hari tersebut dan hari jadi isteri yang jatuh pada 11 Mei, senang nanti kami nak sambut ulang tahun perkahwinan dan juga hari jadi bersama. Tapi memandangkan tarikh tersebut jatuh pada hari biasa maka atas nasihat ibu saya kami pilih 6 Mei sebagai tarikh untuk majlis tersebut.

“Alhamdulillah walaupun keputusan melangsungkan perkahwinan yang saya buat agak last minit, semua urusan dipermudahkan Allah. Ramai yang menghulurkan bantuan kepada saya dalam membuat persiapan terutamanya ahli keluarga dan teman-teman rapat.”

Dengan sekali lafaz, Dazrin, 29, sah bergelar suami kepada pasangannya yang lebih mesra dengan nama Zulin, 33, dengan mas kahwin sebanyak RM500 tunai dan dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Razali Din.

Majlis yang pada mulanya direncanakan untuk dihadiri saudara dan kenalan terdekat akhirnya berlangsung dengan penuh meriah hasil kerjasama yang dijalankan oleh ahli keluarga dan juga kenalan rapat.

Serina Ridzwan, Ezlynn, Dato TS Jeffry dan beberapa rakan artis yang lain turut hadir memeriahkan majlis pernikahan kedua mempelai yang sama cantik sama padan ini. Rakan artis lain yang sama membantu menjayakan majlis pernikahan Dazrin sebagai dulang boys termasuklah Azam Pit, Lan Shiro dan Afzan A. Rahman.

Kedua mempelai yang anggun mempesona memakai persalinan hasil sentuhan Anas Abdullah ini selamat disatukan dalam satu majlis pernikahan yang berlangsung kira-kira pukul 12 tengah hari dan dihadiri keluarga kedua-dua belah pihak serta rakan-rakan terdekat.

Pengantin lelaki menghantar tujuh dulang hantaran perkahwinan berbalas sembilan daripada pihak perempuan dengan jumlah wang hantaran yang dirahsiakan. Pasangan itu memilih mengadakan majlis resepsi pertama di Hotel Equatorial Melaka pada 22 Julai manakala resepsi kedua pula pada keesokan harinya yang dijadualkan berlangsung di tempat sama lokasi pernikahan mereka.

Walaupun membuat persiapan untuk pernikahan pada saat-saat akhir, rezeki Dazrin sebagai raja bakal sehari datang tanpa diduga. Majlis pernikahan yang berlangsung turut mendapat beberapa tajaan daripada KeQaseh By Anas Abdullah untuk persalinan pernikahan Dazrin dan isteri, QqChantek Bridal untuk pelamin yang indah, Anuar Faizal untuk persalinan jejaka dulang, Asia Herbal Biotech yang menaja jamuan dan minuman sebelum majlis berlangsung.

Tiada majlis pertunangan antara mereka berdua, hanya acara merisik dan menghantar tanda yang berlangsung dalam satu majlis tertutup yang diadakan antara kedua belah keluarga sahaja diadakan sejurus selepas Dazrin menyatakan hasrat untuk menjadikan Nur Fazulin sebagai suri hati hidupnya.

“Saya ambil keputusan teruskan sahaja melangsungkan majlis pernikahan tanpa mengikat tali pertunangan. Lagipun kami berdua dah setahun mengenali antara satu sama lain, dah kenal hati budi masing-masing jadi sebaiknya terus sahaja menikah.”