TANJUNG GEMOK - Sebagai sebahagian daripada usaha memahami denyut nadi rakyat, Parlimen Rompin menganjurkan Program Jualan Sentuhan Rakyat dengan menawarkan barangan kepeluan asas pada harga lebih murah berbanding harga pasaran.

Sempena program jualan murah itu, Kelab Anak Perantauan Rompin (Kelar) turut mengambil kesempatan menggerakkan aktiviti kebajikan kepada rakyat dengan mengedarkan 100 kampit beras dan 100 sarang telur secara percuma kepada pengunjung.

Presidennya, Mohd Herman Awang, berkata, sambil dibantu ahli jawatankuasa, Kelar akan tetap melakukan usaha tanggungjawab sosial kelab itu kepada penduduk di Rompin mengikut kemampuan.

Menurutnya, biarpun sumbangan berkenaan tidak besar namun penting sebagai ingatan kepada masyarakat setempat.

“Kami membeli beras dan telur daripada jualan itu dan kemudian menyerahkannya secara percuma kepada orang ramai sebagai satu cara ahli kelab membantu masyarakat.

“Mungkin sumbangan kami ini kecil tetapi kami tetap bertekad membantu masyarakat Rompin ikut kemampuan,” katanya kepada Sinar Harian.

Program yang diadakan di Dewan Teluk Gading, Tanjung Gemuk itu bertujuan meringankan beban rakyat berikutan kos sara hidup serta harga barang meningkat akibat pelbagai faktor.

Antara barangan yang dijual termasuk susu, gula, minyak masak dan bahan mentah seperti ayam segar serta ikan.

Beliau turut gembira atas kehadiran Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin yang turun padang meninjau program berkenaan bagi memastikan masyarakat seluruh parlimen itu mendapat manfaat daripada program jualan yang diinspirasikan kerajaan itu.