MUAR - Seorang pekerja kilang perabot warga Nepal dijatuhi hukuman penjara 22 tahun oleh mahkamah tinggi semalam atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang rakannya, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Halijah Abbas membuat keputusan itu terhadap Shrestha Sujan, 19, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman tersebut dari tarikh dia ditangkap pada 4 Jun 2016.

Shrestha didakwa menyebabkan kematian rakan senegaranya Hom Bahadur Magar, lelaki berusia 30-an di asrama rumah kongsi pekerja kilang Poh Keong Industri Sdn Bhd, Batu 7 ½ Bakri di sini antara jam 11 malam dan 11.50 malam, 4 Jun 2016.

Lelaki itu didakwa mengikut pertuduhan pindaan iaitu Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Sebelum ini, dia didakwa mengikut Seksyen 302 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Mengikut fakta kes, selepas berlaku pertengkaran, dua saksi melihat Shrestha menikam Hom menggunakan pisau berhulu plastik hitam di bahagian perut, kemudian mangsa menarik pisau berkenaan sebelum mangsa rebah ke lantai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi, manakala tertuduh diwakili peguam Kharen Jit Kaur.

Sebanyak 14 saksi pihak pendakwaan dan seorang saksi pihak pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu. - Bernama