IPOH - Seorang penuntut institusi pengajian tinggi lebam pada wajahnya selepas didakwa dikasari anggota polis ketika ditahan atas kesalahan langgar lampu isyarat merah di kawasan Chemor, Ahad lalu.

Ketika kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, Wong Kar Seng, 23 memandu sendirian dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Tanah Hitam, Chemor.

Menurutnya, setibanya di lampu isyarat Chemor, dia jalan terus tanpa tunggu lampu bertukar hijau menyebabkannya dikejar sebuah kereta polis.

“Saya panik terus memecut kenderaan hingga ke kawasan Khantan dan terus masuk ke Sungai Siput sebelum berhenti.

“Saya ditarik keluar dari kenderaan dan seorang polis menumbuk pada wajah kiri dan menampar beberapa kali hingga cermin mata saya patah. Saya dibawa ke Balai Polis Chemor untuk disiasat,” katanya kepada pemberita di Wisma DAP, semalam.

Menurutnya, polis menganggap dia terlibat dalam kegiatan dadah namun, tidak temui apa-apa bahan terlarang dalam pemeriksaan kereta Nissan Sentra yang dipandunya.

“Saya mengakui saya melakukan kesalahan jalan raya tetapi ia tidak bermakna saya boleh dikasari hingga menyebabkan bahagian muka lebam dan bengkak. Lepas ini saya akan lebih berhati-hati,” katanya.

Kar Seng  ditemani Adun Menglembu, Steven Chaw Kam Foon  membuat laporan polis berhubung tindakan anggota trafik itu di Balai Polis Sentral Ipoh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan tersebut namun, dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput untuk siasatan lanjut.