KEDAI Aiskrim Akak Lesung Pipit. Sungguh unik sungguh nama diberikan bagi sebuah premis terletak di Lorong Seri Kuantan, 66, di sini, yang menjual makanan dan minuman.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya maksud tersirat di sebaliknya, dan Sinar Harian ada jawapannya apabila bertemu pemilik premis tersebut, Ashya Sakinah Rusmadi, 25.

Ashya Sakinah berkata, ayahnya, Rusmadi Kamaluddin juga pemilik sebuah galeri lukisan di Taman Cenderawasih, di sini yang memberikan nama unik itu.

“Ayah cakap, tak kisahlah nak jual apa pun asalkan nama yang diberi itu nanti membuatkan pelanggan teringat-ingat kepada saya.

“Ayah suka letak nama-nama unik bagi sesuatu benda, nama makanan ibu, Norhashimah Hussin yang dijual di sini pun dia nak letak nama unik. Jadi sebab tu juga kedai ini namanya Kedai Aiskrim Akak Lesung Pipit.

“Ia merujuk kepada saya yang ada lesung pipit. Bagus juga idea ni, senang orang nak ingat dan banyak bawa tuah," katanya.

Pada awalnya, Ashya Sakinah berjinak-jinak memulakan penjualan ais krim dan air galeri lukisan ayahnya, iaitu Galeri Rajawali (galeri seni) dan dikenali sebagai Kedai Aiskrim Pot kerana ia menjual ais krim dalam pasu kecil yang pernah menjadi kegilaan ramai sebelum ini.

Ashya Sakinah merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Tekstil dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, meminati hidangan ais krim sejak di bangku sekolah lagi.

Dalam pada itu, menurutnya, kedai tersebut lebih mengutamakan penjualan ais krim di samping pelbagai hidangan tambahan yang lain.

“Ada banyak perisa antaranya pudina, rasberi, mangga, coklat dan kelapa. Beza ais krim di sini dengan yang lain adalah hiasannya, kami letak macam-macam nak jadikan ia cantik dan lebih sedap.

“Kami juga ada sediakan susu kocak istimewa diadun dengan resipi sendiri," katanya.

Menurutnya, harga ais krim tersebut pula bermula dari RM2.50 sehingga RM8," kata anak kedua dari tujuh beradik itu.

Sementara itu, katanya, dalam mempersembahkan hidangan yang unik, menarik dan sedap, kedai yang dibuka di sebuah rumah lot tepi diubai suai serta dihiasi dekorasi ringkas.

“Ibu yang bekerja sebagai guru pendidikan seni tulis ayat-ayat menarik guna loghat tempatan di dinding. Jadi ramai pelanggan yang datang ambil kesempatan bergambar.

“Sejak mula dibuka Mac lepas, sambutan amat menggalakkan. Pelanggan datang sini bukan saja nak makan ais krim, tapi juga sebab mereka suka dengan suasana unik dan harga berpatutan ditawarkan," katanya.