MENIKMATI aroma dan kelazatan cita rasa martabak durian adalah sesuatu yang istimewa, apatah lagi pelanggan turut dihidangkan dengan pemandangan sawah padi yang menguning pastinya membangkitkan selera.

Jadi tidak hairanlah, menu itu mendapat sambutan hangat penggemar martabak yang ingin merasai sendiri kelazatan makanan tradisi Melayu itu.

Jika anda berkunjung ke Sungai Besar, jangan lepaskan peluang untuk singgah ke Warung Martabak Kulaan yang terletak di Kampung Parit 6 1/2 Timur, Sungai Besar, di sini.

Kelainan menu itu juga menjadikan Warung Martabak Kulaan itu satu-satunya gerai makan di daerah ini menyajikan menu martabak durian.

Pengusahanya, Mohd Asri Homdan, 50, berkata menu martabak raja buah itu diperkenalkan di gerai makan baru beroperasi kira-kira dua minggu lalu yang dibina di hadapan kediamannya.

“Sebenarnya idea buat martabak durian ini dah lama, kira-kira 10 tahun lepas. Mulanya kawan saya seorang penjual durian berikan saya beberapa buah durian dan minta saya buatkan martabak isi durian.

“Sebagai memenuhi permintaannya, saya buatkan juga martabak durian dan dia gembira serta puas hati lepas makan martabak durian ini,” katanya.

Menurutnya, sejak peristiwa itu, dia hanya membuat martabak durian untuk dimakan sendiri dan ahli keluarganya sehinggalah menu itu diperkenalkan kepada orang ramai sempena pembukaan warung berkenaan.

“Cara sediakan martabak durian ini sama sahaja seperti membuat martabak pisang atau nangka. Bezanya hanya pada isi martabak itu.

Pelanggan menikmati menu martabak durian.

“Isi durian disapu rata pada doh tepung yang ditebarkan sebelum dimasak dan dihidang panas kepada pelanggan,” katanya.

Mohd Asri berkata, sejak menu itu diperkenalkan, sambutan diterima amat menggalakkan malah dalam sehari kira-kira 30 keping martabak durian dipesan pelanggan dan jumlah itu meningkat sekali ganda pada hujung minggu.

“Pada masa sekarang stok isi durian agak mudah diperoleh tapi untuk memastikan martabak itu dapat disediakan di luar musim durian, isi durian diproses menjadi lempok.

“Saya tawar harga RM2 untuk sekeping martabak durian ini. Selain itu, saya juga menyediakan martabak pisang, nangka, ayam dan daging mengikut permintaan pelanggan,” katanya.

Menurutnya, gerai yang beroperasi setiap hari dari jam 7 pagi hingga 11 malam itu turut menyediakan menu sarapan pagi.