JANGAN tak tahu, rupa-rupanya ada port lepak bersama keluarga di Jalan Masjid Rizab Yaakob di belakang Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Hijau di sini.

Menu unik, cendol durian santan sawit yang dijual memberikan kelainan buat penggemar cendol bahkan ada pelbagai jenis cendol dan ais batu campur (ABC) dijual berasingan.

Pemiliknya, Nor Ain Mahari, 28, yang mengusahakan gerai itu bersama suaminya, Mohd Azli Denan, 28, mahu memberikan kelainan dengan menggunakan santan sawit.

Nor Ain berkata, cendol hijau yang dihidangkan bersaiz besar manakala durian pula bergantung kepada musim dan ketika menyediakan jenis IOI untuk pelanggan.

“Mungkin ramai dah rasa santan biasa, jadi kami buat kelainan dengan menggunakan santan sawit yang lebih enak dimakan dengan isi cendol  dibuat sendiri.

“Dengan harga cukup berbaloi bermula RM2 sehingga RM16, kami turut sediakan menu lain seperti roti john special, laksa, mi kari, mi jawa, mihun sup, soto,” katanya.

Menurutnya, menu manggalicious juga menjadi pilihan ramai terutamanya kanak-kanak kerana menggunakan mangga segar yang dijual dengan saiz besar.

“Sudah menjadi impian saya untuk membina sebuah kedai makan sebab asalnya saya berniaga di tepi jalan di Kampung Bukit Cherakah sebelum berpindah di tapak kosong di hadapan rumah keluarga.

“Masa mula-mula niaga dulu, kami hanya ada pondok kecil dan alhamdulillah, orang yang datang pun ramai sampai melimpah dan tak cukup kerusi sehinggalah kami mampu membesarkan ruang makan,” katanya.

Adik perempuannya, Nurul Ashikin Mahari, 23, bersama adik iparnya, Mohd Rizuwan Mohd Sali, 27, turut membantu menjayakan perniagaan itu.

Menurut Nurul Ashikin, minat mendalamnya sekeluarga dalam dunia perniagaan mendorongnya untuk bersama memajukan jualan makanan dan minuman.

“Sudah pastinya kami ada pasang impian untuk wujudkan cawangan lain dan mungkin di Puncak Alam bagi mengembangkan lagi jualan dan pada masa sama membuka peluang kepada orang Puncak Alam merasai cendol santan sawit ini.

“Kami jual bermacam jenis termasuk cendol aiskrim oreo, cendol aiskrim jagung, cendol aiskrim durian dan pelbagai lagi mengikut pilihan pelanggan,” katanya.