Ibu-ibu yang baru nak perkenalkan bayi makanan pejal, jangan lupa masukkan ubi keledek dalam menu. Khasiatnya sangat bagus untuk perkembangan organ si manja. Kenapa ia sangat bagus?

1. Ubi keledek bebas gluten (bagus untuk anak-anak yang ada masalah ekzema, asma, leaky gut dan alahan terhadap makanan berasaskan gandum).

2. Kaya dengan karbohidrat tapi rendah lemak dan bebas kolesterol, jadi tak perlu risau kalau anak makan banyak sebab tak menggemukkan.

3. Tinggi vitamin A (beta kerotin) yang baik untuk kesihatan mata bayi.

4. Ia juga sumber multivitamin seperti C,E,K, vitamin B1 hingga B6 dan B9 yang diperlukan untuk perkembangan organ badan bayi.

5. Mengandungi potasiium yang tinggi, kalsium dan serat yang tinggi yang baik untuk proses penghadaman. Jadi bayi tak akan mudah sembelit bila makan keledek.

6. Rasa lemak manisnya mesti akan digemari oleh bayi jika anda perkenalkan ia sebagai puri pertamanya.

7. Mudah dan cepat dimasak sama ada direbus atau gril. Selain itu ia juga murah dan mudah diperolehi.

Jadi, ibu-ibu semua silalah masakkan keledek untuk si manja. Kalau tak ada idea, ini 5 resipi berasaskan keledek yang anda boleh cuba.

Puri keledek dan kacang

Bahan-bahan

Sebiji keledek bersaiz sederhana

Secawan kacang putih mata hitam

Sedikit kulit kayu manis

Cara penyediaan

1.Keledek pula dikupas, dipotong dadu dan kukus sehingga masak.

2.Kacang pula direbus dengan kulit kayu manis sehingga empuk.

3.Kisarkan semua bahan dan puri siap untuk dihidangkan atau dibekukan.

Puri keledek dan ayam

Bahan-bahan

Sebiji keledek bersaiz sederhana

Secawan isi ayam tanpa tulang

½ ulas bawang putih

Sedikit halia (opsyen)

Cara penyediaan

1.Ayam dibersihkan dan dipotong dadu.

2.Manakala keledek pula dikupas dan dipotong dadu.

3.Kukuskan semua bahan sehingga masak.

4.Kisarkan semua bahan dan puri siap untuk dihidangkan atau dibekukan.

Puri keledek, salmon dan pis

Bahan-bahan

Sebiji keledek bersaiz sederhana

Secawan kacang pis

½ keping salmon tanpa tulang

Cara penyediaan

1. Keledek dikupas dan didadu.

2. Stimkan keledek dan kacang pis sehingga empuk.

3. Kisarkan dua bahan ini.

4. Sementara itu kukus salmon berasingan.

5. Hancurkan isi salmon dengan garpu dan kemudian gaulkan bersama dengan puri.

6. Siap untuk dihidangkan atau dibekukan.

Puri keledek, epal dan kacang dal

Bahan-bahan

½ biji keledek

Sebiji epal

1/3 cawan kacang dal

Cara penyediaan

1.Stimkan keledek dan epal.

2.Kacang dal pula direbus hingga empuk.

3.Kisarkan semua bahan dan puri siap untuk dihidangkan atau dibekukan.

Puri keledek dan epal

Bahan-bahan

Sebiji keledek bersaiz sederhana

Sebiji epal

Cara penyediaan

1. Keledek dan epal dikupas dan di dadu.

2. Stimkan sehingga empuk.

3. Puri siap untuk dihidangkan atau dibekukan.