PERBADANAN Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menyasarkan peningkatan jualan sebanyak 10 peratus dalam Minggu Fesyen Malaysia 2016 (MFW 2016), daripada RM127.52 juta, yang dicatatkan pada edisi tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dzulkifli Mahmud berkata, peningkatan itu didorong oleh pertambahan jumlah pereka fesyen tempatan dan antarabangsa yang terlibat dalam MFW 2016, selain promosi  agresif dengan pelancaran peringkat global yang bakal diadakan di Escale de Grenelle di Paris, Perancis pada 28 September ini sempena Minggu Fesyen Paris.

“MFW 2016, projek Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Intrade), yang dianjurkan Matrade dan Stylo International. Ia bakal disertai 80 pereka fesyen daripada negara seperti Malaysia, Asean, Jepun, China dan Korea melibatkan sebanyak 300 ruang pameran.

“Pada tahun lalu, seramai 50 pereka fesyen terlibat dengan MFW 2015, membabitkan 15 buah negara,” katanya pada sidang media pengumuman pelancaran global MFW 2016 di Kuala Lumpur, kelmarin.

Dzulkifli yang juga Pengerusi MFW berkata, MFW 2016 yang bakal berlangsung 2 hingga 5 November ini di Menara Matrade, Kuala Lumpur, melibatkan program pertunjukan fesyen perdagangan dan pameran Intrade.

“Antara produk yang terlibat dalam MFW 2016 termasuklah fesyen, aksesori dan pakaian, kecantikan, rambut dan kosmetik, barang kemas, seni dan kraf tangan, gaya hidup, tekstil serta perkakasan,” katanya.

Pada majlis itu, Dzulkifli turut mengumumkan 10 pereka fesyen tempatan yang akan ke Paris bagi mempamerkan keunikan reka bentuk dan material, diilhamkan daripada pelbagai budaya di Malaysia, dan mengambil peluang sempena Minggu Fesyen Paris pada 27 September hingga 5 Oktober depan.

“Pereka fesyen terlibat adalah Bon Zainal, Jo Disaya, Bill Keith, Keith Kee, Fizi Woo, Tanoti Crafts, Sakura Malaysia, Ruzz Gahara, Porosus dan Toi, yang kesemuanya dipilih berdasarkan keupayaan, kualiti serta memenuhi tarikan antarabangsa.

“Mereka bakal memperagakan koleksi pakaian siap untuk musim bunga dan panas 2017. Kami percaya, pereka fesyen tempatan sudah sedia untuk memenuhi kehendak pelanggan antarabangsa dan mereka mempunyai keupayaan untuk menarik peminat industri fesyen antarabangsa,” katanya.

Pada tahun lalu, jumlah eksport produk fesyen dan gaya hidup adalah RM36.91 bilion, meningkat sebanyak 13.2 peratus berbanding RM32.61 bilion, tahun sebelumnya.

Bagi tujuh bulan pertama tahun ini, jumlah eksport produk fesyen dan gaya hidup mengekalkan pertumbuhannya kepada RM21.55 bilion, daripada RM20.12 bilion, dalam tempoh sama tahun lalu.