KUALA LUMPUR - Bagi sesetengah orang, memasak bukan satu tugas yang rumit tambahan jika memang hobi suka ke dapur, lebih-lebih lagi sekiranya setiap  hasil “air tangan” mendapat pujian.

Sebaliknya jika menjenguk dapur pun sekali-kali sahaja dan kebanyakan masa makan di luar, memasak boleh  dianggap membebankan tambahan apabila buntu, tidak tahu apa yang hendak dimasak.

Bagaimanapun, dengan adanya kemudahan Internet dan laman sosial, ada banyak maklumat tentang masakan serta resipi yang boleh diakses termasuk oleh tukang masak terkemuka.

Tambahan di bulan Ramadan apabila selera makan semakin menjadi-jadi dan dalam keadaan lapar dan perut keroncong, mulalah tekak mahukan pelbagai makanan yang jarang dimakan atau yang sedap dan menyelerakan.

Paling sibuk ke dapur sudah tentunya suri rumah dan seboleh-bolehnya menu yang disediakan nanti biarlah sedikit berbeza berbanding hari biasa bagi menambat selera si suami dan anak untuk berbuka di rumah setelah seharian berpuasa.

Wanita yang bekerja juga tidak menang tangan untuk menyiapkan hidangan berbuka puasa dan selain daripada membeli, pastinya mahu menyediakan sendiri makanan untuk keluarga.

Manfaat Teknologi

Jika dahulu ramuan dan cara masakan sesuatu menu yang dikongsi di Internet sama ada google atau yahoo, lebih  dalam bentuk teks, kini  sejajar dengan perkembangan teknologi lebih ramai netizen mula gemar menggunakan video.

Lazimnya video berkenaan berdurasi pendek untuk berkongsi resipi sama ada menerusi medium YouTube mahupun platform paling popular pada masa ini iaitu Instagram. 

Taip sahajalah apa jenis menu yang diingini sama ada masakan berat, pencuci mulut mahupun minuman tempatan, Asia dan juga Barat semuanya begitu mudah dicari dengan pelbagai teknik memasak. 

Malah berkongsi resipi di Instagram juga mewujudkan “komuniti Instafamous masakan” dengan akaun media sosial milik mereka begitu popular dan mempunyai pengikut tersendiri sehingga ada mencecah ratusan ribu peminat. 

Apa yang menarik ialah mereka hanya orang biasa, jauh sekali selebriti mahupun tukang masak. Antara instafamous masakan yang sering mendapat perhatian ramai dan selalu menjadi sebutan ialah Yatie Kitchen atau nama sebenarnya Nurhayati Zainol Abidin, 41.

Menu masakannya sentiasa dinantikan peminat khususnya di bulan Ramadan dan menjelang Syawal.

“Sebenarnya, akaun Yatie Kitchen hanyalah untuk koleksi sendiri selain berkongsi gambar di Instagram bersama keluarga dan kenalan rapat kerana saya memang sangat suka memasak. 

“Selain sebagai kepuasan kerana seronok tengok balik gambar makanan yang disediakan sebelum ini ia juga membantu saya untuk merujuk balik sesuatu resipi. Takut lupa kerana bukan semua kita boleh ingat,” katanya kepada Bernama.

Guru Masak 

Bermula dengan hanya 300 pengikut dari kalangan keluarga dan rakan, kini laman sosial Instagram milik Nurhayati mencecah lebih 245,000 pengikut yang dan bukan hanya kalangan orang biasa tetapi turut meliputi kerabat diraja, golongan VVIP dan selebriti popular negara. 

Tidak pernah menyangka akan mendapat perhatian sebegitu, ibu kepada tiga orang anak ini yang menggunakan telefon pintar sebagai medium utama untuk menangkap gambar serta video masakannya banyak membantu golongan wanita khususnya mereka yang baharu berjinak-jinak memasak. 

Bahkan beliau turut digelar sebagai guru masakan kerana kebanyakan resipi yang diberikannya sentiasa ‘menjadi’ selain laman komen Instagram miliknya sentiasa dipenuhi ucapan terima kasih kerana tidak memberikan resipi tipu. 

“Nak kata saya pandai sangat masak, tidaklah juga dan rasanya tidak layak dipanggil guru. Banyak lagi yang perlu dipelajari. Bagaimanapun, saya gembira apabila resipi yang dikongsi di Instagram berjaya membantu ramai wanita di luar sana.

“Malah, saya pernah menerima ucapan terima kasih daripada golongan suami kerana isterinya sudah pandai masak. Ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk berkongsi lebih banyak resipi dengan yang lain,” katanya. 

Biasanya, wanita yang bekerja sebagai Duta Khidmat Pelanggan di sebuah hospital swasta ini akan menggunakan kaedah video untuk menunjukkan cara masakan bagi menu yang susah untuk memudahkan orang lebih faham. 

Manakala bagi menu yang ‘mudah’, Nurhayati akan berkongsi resipi dengan perkongsian gambar dan teks selain menjawab soalan netizen menerusi ruangan komen sekiranya ada yang memerlukan penjelasan. 

“Ramai yang tanya macam mana boleh siap masak dengan cepat disebabkan saya bekerja. Biasanya, saya merancang menu dan bahan yang perlu digunakan seminggu lebih awal. 

“Menyenangkan kerana bila balik kerja sudah boleh sediakan bahan dan terus masak. Tak perlu lagi fikir nak masak apa dan bahan pun tak beli lagi,” katanya.

Amal Jariah

Antara menu yang dikongsi menerusi media sosial miliknya adalah gulai ayam kari, asam pedas dan roti jala. 

Ketika ditanya mengapa mahu berkongsi resipi secara percuma sedangkan ramai yang mengenakan bayaran dan kursus masakan di luar pun mahal, Nurhayati berkata ilmu serta kemahiran yang diperolehi bukanlah miliknya seorang.

“Memang ramai beritahu saya ilmu yang diperolehi ini boleh dibuat duit tetapi saya tak mahu. Bagi saya, apabila kita berkongsi ilmu atau ajar orang lain dan mereka menggunakannya, kita akan mendapat pahala berterusan walaupun sudah meninggal dunia.

“Mungkin ini antara satunya amal jariah yang saya lakukan. Lagipun ilmu saya dapat ini bukanlah dibeli tetapi diperolehi dengan percuma yang diajar oleh ayah, emak dan rakan. Mengapa perlu jual.

“Saya tak faham mengapa masih ada yang kedekut nak berkongsi resipi kononnya ia resipi keluarga, turun-temurunlah dan sebagainya,” katanya yang minat memasak sejak dibangku sekolah ini. 

Malah, Nurhayati juga tidak kisah sekiranya ada yang menggunakan resipi miliknya untuk mengusahakan perniagaan makanan kerana ia sedikit sebanyak boleh membantu mereka menjana pendapatan. - Bernama