KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap sedia dari segi aset dan keanggotaan  untuk berdepan situasi banjir menjelang monsun kali ini.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, pihaknya telah mengarahkan negeri dan markas-markas tentera untuk membuat persediaan menghadapi bencana jika diperlukan serta merta.

“Sekarang tentera kita terlibat dengan membantu mangsa gempa bumi di Sulawesi, kita hantar beberapa kapal terbang untuk mengangkut makanan dan perubatan dari Jakarta ke Palu,” katanya kepada media, hari ini .

Beliau ditemui sempena Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada veteran ATM Zon Kelantan di Hotel Perdana, di sini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Hal Ehwal Veteran ATM, Mejar Jeneral Datuk Mohamad Khir Abdullah serta pegawai -pegawai kanan tentera yang terlibat.

Mengulas lanjut mengenai bantuan ke Indonesia, beliau berkata, sehingga kini bantuan yang diberikan mencukupi dan pihaknya sudah seminggu bertugas di sana.

Terdahulu, beliau menyampaikan 200 pingat kepada veteran Persatuan Veteran ATM Kelantan, Kelab Veteran Semboyan Kelantan, Kelab Veteran 302 Saem Sahabat, Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen Kelantan serta seluruh warga ATM di sekitar Kelantan termasuk lapan diwakili balu tentera.

Penganugerahan pingat tersebut  merupakan satu manifestasi perjuangan golongan veteran terhadap keamanan dan kemerdekaan negara.