SHAH ALAM - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berazam menjadi seorang menteri pertanian yang bukan sahaja membantu kaum Melayu, tetapi juga kepada kaum-kaum lain.

Beliau mengakui pelantikannya sebagai menteri pertanian dan industri asas tani sebagai tanggungjawab yang berat dan bukan mudah untuk digalas.

"Cabaran terbesar yang perlu saya hadapi ialah bagaimana untuk mengemas kini seluruh kementerian dengan membuang segala 'sampah' keluar dari kementeriannya.

"Saya akan terus berpegang kepada pendirian saya untuk membanteras rasuah dan penyelewengan secara habis-habisan. Jika tidak buang 'sampah' di bawah karpet, ia lama-kelamaan akan jadi busuk," kata Salahuddin ketika ditemu bual oleh Nanyang Siang Pau.

Bagaimanapun beliau mengakui untuk mengubah sikap cara kerja kakitangan awam dan mengurangkan birokrasi bukanlah kerja mudah.

Bagi mengatasi masalah pekebun, jelas Salahuddin, beliau akan mengambil sikap terbuka untuk menerima sebagai kritikan dan pandangan daripada pelbagai pihak.

Beliau yang juga timbalan presiden Amanah turut memberitahu, beliau sentiasa berpegang prinsip bahawa antara urusan rasmi kerajaan dengan parti mesti diasingkan.

"Tujuan mengasingkan urusan rasmi kerajaan dengan parti adalah demi memulihkan maruah kakitangan awam agar mereka tidak lagi dipaksa menyertai sebarang kegiatan anjuran parti.

"Pendirian saya adalah jelas iaitu antara urusan kerajaan dengan parti perlulah diasingkan dengan jelas. Apabila saya tugas sebagai menteri, saya mahu pegawai saya bantu dan sokong saya. Tetapi apabila saya hadiri aktiviti parti, mereka tidak perlu lagi ikut saya," katanya.

Jamin hak semua kaum dapat terpelihara

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meminta masyarakat bukan Melayu jangan bimbang kononnya hak dan kepentingan boleh terhakis di bawah pemerintahan kerajaan Pas.

Beliau menjelaskan, beliau adalah menteri besar untuk menjaga semua kaum di Terengganu, oleh itu, tanpa mengira apa juga bangsa dan agama, hak rakyat di negeri ini tetap terpelihara dan terjaga.

"Saya dapati ada ramai bukan Melayu masih rasa takut kepada Pas. Tetapi saya ingin tegaskan di sini bahawa saya adalah menteri besar untuk semua kaum.

"Kerajaan negeri Terengganu juga adalah kerajaan negeri untuk semua kaum. Masyarakat bukan Melayu tidak seharusnya rasa bimbang dan takut kepada Pas," kata Ahmad Samsuri ketika ditemu bual oleh Sin Chew Daily.

Dalam PRU14 lalu menyaksikan semua wakil rakyat di Terengganu terdiri daripada Pas dan Umno sekaligus mencatatkan tidak ada seorang pun wakil rakyat bukan Melayu dipilih di dalam Parlimen mahupun Dun negeri itu.

Sehubungan itu, Menteri Besar Terengganu ini akan menimbangkan untuk melantik seorang wakil bagi menguruskan hal ehwal bukan Islam di negeri itu.

"Prinsip perjuangan Pas adalah untuk Islam. Bagaimanapun, pada masa yang sama, kerajaan negeri tidak akan melakukan sebarang hal yang boleh menimbulkan rasa tidak senang hati terhadap masyarakat kaum lain.

"Kami akan berhati-hati melak­sanakan pelbagai dasar. Tetapi sebe­lum melakukannya, kami akan terlebih dulu berbincang dan mem­beri penerangan bagi memas­tikan kaum-kaum lain tidak terjejas," katanya.

Menurut beliau, imej Pas sebenarnya telah dicemari sehingga menyebabkan masyarakat bukan Islam berasa takut.

"Sekiranya masyarakat bukan Islam diberi maklumat yang betul dan jelas, mereka akan lebih memahami Pas dan menyerahkan kepercayaan kepada parti kami," katanya.