SHAH ALAM - Empat parti di Sarawak, PBB, PRS, PDP dan SUPP yang bertindak meninggalkan BN mengetepikan rakan perjuangan sejak 1970-an demi survival politik.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata tindakan itu perlu demi perubahan politik yang drastik.

“BN Sarawak ambil tindakan drastik walaupun terpaksa mengetepikan rakan lamanya yang sama-sama berjuang sejak awal 70-an tapi ini satu tindakan yang pragmatik demi survival politiknya sendiri.

“Sebab selagi kekal bersama BN, selagi itu mereka akan terpalit dengan imej dan reputasi jelik. Ini akan memudaratkan dari segi politik jangka panjang,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, berada di luar BN lebih menguntungkan buat keempat-empat parti komponen itu.

“Langkah terbaik keluar daripada BN untuk memastikan mereka diterima rakyat dan pengundi di Sarawak lebih-lebih lagi nak berdepan PRN 2021.

“Antara dalam BN dan keluar BN, keluar BN yang dapat menyelamatkan mereka daripada menjaga hati kawan,” katanya.

Katanya, Meskipun kehilangan sokongan di Sarawak, BN tidak akan terkubur dalam masa yang terdekat.

“Tidak...Dalam masa terdekat BN tidak akan terkubur. Mereka tidak seharusnya hilang semangat. Mereka harus cepat mengembalikan semula semangat untuk berjuang sebagai pembangkang.

“Mereka harus ambil iktibar atas perjuangan Pakatan Harapan untuk berada di pihak pembangkang dulu. Harus menampilkan pemimpin berwibawa yang lantang bercakap berdasarkan fakta supaya dapat menjadi semak dan imbang yang efektif,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Empat parti komponen umum keluar BN Sarawak]

Jeniri juga tidak menolak kemungkinan empat parti itu kembali bersama BN sekiranya BN kembali berkuasa kerana dalam politik tiada yang mustahil.

Mengulas lanjut, Jeniri berkata Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu melakukan transformasi supaya menjadi satu jenama yang boleh diterima rakyat selepas PRU dan perkembangan isu semasa.

“Tapi yang lebih penting bukan sekadar berubah daripada segi entiti dan wajah tetapi bagaimana mereka dapat transformasi entiti itu menjadi satu jenama yang dapat diterima rakyat pelbagai kaum di Sarawak.

“Mereka perlu lakukan rombakan besar-besaran terutama dari segi ideologi, falsafah termasuk kepimpinan negeri. Jika tidak mereka dicop sekadar tukar nama, tukar baju saja,” katanya.