SEREMBAN - Media berperanan dalam meningkatkan semangat kesukarelaan dan semangat kerja berpasukan dalam sesebuah kawasan kejiranan atau Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial, Senator P Waytha Moorthy berkata, laporan berita dilaporkan mampu memberi suntikan motivasi sekaligus membuktikan pengiktirafan kerajaan terhadap KRT.

"Berita dan hebahan media semasa memberikan liputan kepada aktiviti dan program yang dilaksanakan KRT sesungguhnya membuktikan sokongan moral dan pengiktirafan pihak kerajaan terhadap mereka.

"Pengaruh media dan kesannya ke atas komuniti dan masyarakat bukan saja sebagai medium pemujukan, tapi boleh membawa perubahan yang positif terhadap minda serta pembangunan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Interaksi Perpaduan Bersama Media Peringkat Negeri Sembilan di sini, malam tadi.