PETALING JAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan jemaah menteri agar lebih sensitif terhadap pandangan orang ramai.

Mengambil contoh isu Majlis Amanah Rakyat (Mara), Pengerusi Bersatu itu berkata, ada banyak pandangan diekspresikan berkenaan insititusi itu sehingga menjadi isu sensitif.

"Ia sudah jadi isu sensitif yang perlu diberi perhatian oleh parti dan PH. Saya akan bawa perkara ini kepada menteri-menteri supaya mereka faham betapa pentingnya mereka sensitif terhadap pandangan orang ramai.

"Kalau kita nak dapat sokongan orang ramai, kita mesti sensitif kepada pendapat mereka," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat ahli pimpinan tertinggi Bersatu di sini, tengah malam tadi.

Sebelum ini, timbul beberapa desas desus mengenai Mara yang membangkitkan rasa tidak puas hati orang Melayu khususnya.

Antaranya ialah kenyataan yang didakwa dibuat oleh Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Sivarasa Rasiah bahawa Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) akan dibuka kepada semua kaum.

Selain itu, terdapat laporan mengatakan Mara akan dirombak dan diletakkan di bawah beberapa kementerian.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Bersatu akan melancarkan parti itu di Sarawak dalam masa terdekat.

"Banyak pihak di Sarawak berminat nak sertai Bersatu dan kita ada hampir 30,000 ahli. kita akan ada usaha untuk lancar parti di  Sarawak untuk tentukan kepimpinan di negeri itu.

"Kita terima semua permohonan untuk jadi ahli Bersatu asalkan tidak ada perkara bertindih  berkenaan kepemimpinan bahagian Sarawak," katanya.