SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menegaskan tidak mustahil sekiranya penganjuran parti seks juga bakal menjadi acara tahunan yang baharu di negara ini susulan penganjuran Oktoberfest.

Mohd Khairuddin berkata, sepatutnya penganjuran pesta arak Oktoberfest berkenaan ditangani dengan mengambil kira kedudukan Islam dan sensiviti orang-orang Islam yang merupakan majoriti penduduk negara ini.

Menurutnya, selain itu, kepentingan awam terutamanya melibatkan aspek ketenteraman dan keselamatan juga perlu diambil kira.

“Sekiranya alasan permohonan telah dibuat, diadakan di premis persendirian dan tempat tertutup serta tidak melibatkan orang Islam dijadikan sandaran bagi memberikan kebenaran, tidak mustahil penganjuran parti seks juga bakal menjadi acara tahunan yang baharu di negara ini.

“Tindakan kerajaan pimpinan PH yang memberikan kebenaran untuk penganjuran pesta arak Oktoberfest ini adalah sangat bersalahan dengan prinsip Islam dan siyasah syariyyah bagi sebuah negara majoriti Muslim,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, berpesta minum arak merupakan syiar kemungkaran yang wajib dibanteras oleh kerajaan yang meletakkan Islam sebagai agama negara.

Menurutnya, berpesta sangat berbeza dengan minum secara individu.

“Berpesta menjadi syiar kemungkaran yang merosakkan dan memudharatkan masyarakat. Ini kerana bahaya arak ini bukan sahaja menghilangkan kewarasan akan peminumnya, lebih daripada ini boleh mengakibatkan korban nyawa peminumnya dan orang lain.

“Bahkan, jika prinsip menghormati penganut agama lain untuk melakukan apa yang tidak dilarang oleh agama mereka dijadikan alasan, ia bercanggah dengan kitab-kitab suci atau rujukan agama Hindu, Buddha, Kristian, Sikhisme dan Yahudi yang menyatakan secara jelas dan banyak tentang larangan atau pengharaman arak ini,” katanya.

Menurutnya, bantahannya lebih berfokus kepada perbezaan antara minum secara individu dengan berpesta arak yang menjadi syiar kemungkaran dalam sebuah negara majoriti Muslim.

“Mengenai pesta arak ini, Pas konsisten membantah penganjurannya sejak dahulu lagi,” tegasnya.

Penganjuran Oktoberfest 2018 di Mid Valley mendapat bantahan banyak pihak namun ia tetap dibenarkan berlangsung kerana tidak melanggar undang-undang.

Pada 2017, penganjur membawa 250 jenama arak berbeza dari 43 syarikat pengusaha arak (Breweries) untuk memenuhi citarasa pengunjung.