ARAU - Pengerusi Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menafikan laporan media yang mendakwa beliau mengalami strok kecil baru-baru ini.

Menurut laporan sebuah portal, Ahli Parlimen Arau itu hanya mengalami kekebasan di kakinya.

“Saya pulang ke Perlis sejak 4 hari lalu dan menghadiri majlis berbuka puasa setiap hari, serta menemui pengundi dan pemimpin Umno negeri,” katanya.

Satu sumber yang rapat dengan Shahidan berkata, bekas menteri besar itu dipercayai mengalami gangguan autoimun ganjil yang dikenali sindrom Guillain-Barré.

Sindrom itu ialah sejenis gangguan dalam sistem imun yang menyerang sel saraf sihat dalam sistem saraf periferal badan. Ini akan menyebabkan pesakit lemah, kebas dan mengalami kederiaan sesemut.

Sumber itu berkata, tiga hari selepas PRU14 pada 9 Mei lalu, Shahidan dimasukkan ke hospital selepas mengadu tidak selesa.

Sejak itu, Shahidan keluar masuk hospital dan perlu menerima rawatan, termasuk sesi fisioterapi.

Baru-baru ini, Shahidan menerusi Facebooknya memberitahu beliau akan kembali ke hospital untuk menerima rawatan selepas sambutan Aidilfitri.

Sebelum ini, Setiausaha Umno Negeri, Datuk Zahidi Zainul Abidin memberitahu sebuah portal Shahidan mengalami strok kecil (minor stroke) menyebabkan pergerakannya terbatas.

[ARTIKEL BERKAITAN: Shahidan Kassim alami strok kecil]