Kitab suci al-Quran mesti dijadikan sebagai panduan kehidupan setiap muslim. Al-Quran diturunkan oleh Allah SWT sebagai panduan kehidupan. Sebagai pemimpin kepada anak-anak yang membesar, ibu bapa sepatutnya membimbing mereka menjadi generai celik Al-Quran.

Apatah lagi dalam zaman penuh cabaran dan kepesatan teknologi, tanggugjawab ibu bapa semakin berat dalam memastikan si kecil tetap berada dalam landasan yang betul.

Jangan terlalu bangga sekiranya anak-anak kita lebih hebat menghafal lirik lagu berbanding lancar membaca ayat-ayat al-Quran.

Oleh itu, memastikan anak-anak celik Al-Quran menjadi syarat penting kepada ibu bapa dalam mentarbiah atau mendidik anak. Didikan awal akan tertanam dalam diri anak seterusnya memandu mereka menjadi insan yang berjaya di masa hadapan.

Percayalah, anak-anak yang sentiasa membaca Al-Quran akan membesar sebagai anak yang mempunyai ketrampilan diri dan akhlak yang mulia.

Yang penting mereka mahir membaca Al-Quran, istiqomah membacanya, memahami isi kandungan Al-Quran serta mengamalkan apa yang diajarkan.

Ibu bapa mana yang tidak sejuk hati apabila melihat anak yang dididik selama ini menjadi insan cemerlang bukan sahaja akademik tetapi budi pekerti.

Jadi, ibu bapa perlu mulakan kaedah mengajak anak mendekatkan diri dengan Al-Quran sejak mereka masih kecil lagi. Macam mana caranya?

1. Masa khusus

Mengkhususkan masa antara Maghrib dan Isyak untuk bersama keluarga bertadarus Al-Quran. Selain dapat menanam rasa cintakan Al-Quran dalam diri anak-anak, ia juga merapatkan hubungan kekeluargaan.

2. Guru mengajar Al-Quran

Kalau ibu bapa kurang mahir membaca Al-Quran, dapatkan guru yang mampu membantu ahli keluarga membaca ayat suci itu dengan betul dan tepat.

3. Bercerita kisah dalam Al-Quran

Kanak-anak suka dengar cerita, jadi ambil peluang untuk rajin bercerita kisah nabi daripada Al-Quran. Ibu dan bapa boleh bergilir-gilir bercerita kepada anak-anak.

4. Pasang bacaan Al-Quran dalam kereta

Kalau naik kereta terutama dalam perjalanan yang jauh untuk balik kampung hari raya nanti, biasakan memasang rakaman bacaan ayat suci Al-Quran atau alunan zikir.

5. Tidurkan anak dengan alunan ayat Al-Quran

Biasakan menidurkan anak dengan alunan bacaan ayat Al-Quran. Selain mampu menenangkan anak dan memudahkan dia tidur, ia juga amalan baik untuk membuatkan si kecil cinta akan ayat-ayat suci Al-Quran.

6. Jadi ibu bapa contoh

Ibu bapa sendiri mestilah menjadi contoh teladan yang baik beramal dengan Al-Quran dalam kehidupan harian supaya anak-anak melihat dan menjadikan ia sebagai contoh buat diri mereka.

Membaca Al-Quran adalah ibadat. Allah memberi ganjaran pahala yang besar jika kita sebagai hambanya berusaha memartabatkan isi kandungan Al-Quran dan mengamalkan segala tunjuk ajar yang terkandung di dalamnya.

Untuk menambahkan rasa keseronokan anak-anak membaca Al-Quran, apa kata anda ajak si kecil memeriahkan majlis Quran Hour yang akan berlangsung pada 24 Ramadan 1438H (19 Jun 2017) iaitu Isnin depan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya bermula jam 12 tengah hari hingga 1 petang.

Kalau tak berpeluang ke sana, marilah kita bersama-sama meluangkan masa selama satu jam membaca Al-Quran serentak secara bersendirian, berdua atau berkumpulan tak kira sama ada di rumah, di sekolah, di pejabat, masjid, R&R, taman atau di mana sahaja.

Trendingkan Malaysia #QuranHour. Upload gambar-gambar pada masa tersebut di Instagram, Twitter & Facebook anda.