"Alhamdulillah anak ummi dah 32 minggu. Syukur semuanya berjalan lancar" - demikian Tilla menulis posting di facebooknya sambil berkongsi video dan gambar scan terbaru bayi dalam kandungan.

Tujuannya untuk berkongsi kegembiraan dan kebahagiaan kerana bakal bergelar ibu tidak lama lagi. Tentu ramai bakal ibu pun biasa buat perkara yang sama kan?

Tapi ada orang cakap tak elok kongsi gambar scan baby di media sosial. Betul ke?

Menurut laman web Mufti Wilayah Persekutuan melalui Al-Kafi Li Al-Fatawi, soalan 417 bertarikh 27 Oktober 2016, gambar ultrasound bayi dalam kandungan ibu hamil tidak sepatutnya dikongsi kepada umum. Ini kerana ia adalah bertentangan dengan asal maksud janin itu sendiri.

Janin itu berasal daripada perkataan Bahasa Arab yang membawa maksud ‘perkara yang tersembunyi.’ Justeru, ia tidak patut ditunjuk-tunjuk kepada orang melainkan ada keperluan seperti urusan perubatan dan pengajaran. Gambar scan bayi dalam kandungan ibu dikhuatiri akan mengundang fitnah seperti aib dan sangkaan-sangkaan manusia.

Walaubagaimanapun, gambar foto bukanlah seperti aurat fizikal yang haram dilihat secara langsung, melainkan membawa kepada syahwat dan fitnah. Begitu juga organ dalaman manusia seperti hati, jantung dan rahim bukanlah dalam kategori aurat kerana demikian bukanlah makna perhiasan berdasarkan penjelasan Rasulullah SAW dan para sahabat.

Kadang-kala bila kita berkongsi gambar kepada umum, ia boleh menimbulkan komen-komen negatif daripada orang. Setiap orang mempunyai persepsi yang berbeza, dan kita tidak tahu apa yang ada dalam hati setiap orang.

Mungkin ada yang mempunyai penyakit hasad dengki dan tidak suka melihat orang lain bahagia. Mungkin juga ada yang masih belum dikurniakan cahayamata, maka ia boleh menyebabkan kesedihan dalam hati orang yang melihat kebahagiaan orang lain.

Maka, seeloknya tak perlulah ibu hamil berkongsi gambar scan bayi di media sosial. Cukuplah sekadar berkongsi dengan ahli keluarga rapat sahaja tentang perkembangan bayi anda.

Sumber: www.muftiwp.gov.my