Tinggal beberapa hari sahaja lagi Ramadan akan berakhir. Tahun depan entah masih diberi kesempatan Tuhan untuk bertemu Ramadan kembali atau tidak.

Inilah masanya untuk kita mempertingkat amalan menjelang malam-malam terakhir di bulan mulia ini.

Ustaz Don Daniyal dalam kuliahnya hari ini di Masjid Negeri Shah Alam menyarankan agar kita semua 'pulun' untuk mendapat malam lailatul qadar. Ini kerana para Nabi juga yang mahukan sesuatu dari Allah, akan pulun untuk berusaha dan berdoa agar apa yang dihajati termakbul.

Sesungguhnya, 10 malam terakhir dalam bulan Ramadan adalah malam-malam yang sangat istimewa. Pada malam-malam inilah Nabi Muhammad SAW menghabiskan waktu-waktunya dengan ibadah yang khusyuk. Dan, antara malam-malam inilah terdapat malam lailatul qadar; malam yang lebih mulia daripada 1,000 bulan.

Sering kelliru cara untuk mendapat malam lailatul qadar, admin bawa sedikit perkongsian cara Rasulullah SAW menghayati malam-malam mulia ini, iaitu dengan cara:

1. Menghidupkan Malam

Baginda memenuhi malam dengan beribadah kepada Allah SWT. Aisyah RA pernah berkata:

“Tidak pernah aku melihat beliau (Nabi SAW) melakukan ibadah pada malam hari hingga pagi harinya dan berpuasa selama satu bulan penuh kecuali di bulan Ramadan.” (Hadis Riwayat Muslim)

2. Membangunkan Keluarga Baginda

Pada malam-malam 10 hari yang terakhir, Rasulullah SAW membangunkan keluarganya untuk sama-sama mengerjakan solat sunat. Hal demikian tidak Baginda lakukan pada malam-malam yang lain. Diriwayatkan dari Ali bin Abi Talib, ia berkata: “Rasulullah SAW membangunkan keluarganya di sepuluh hari terakhir bulan Ramadan.”(Hadis Riwayat Tirmidzi)

3.Tidak Menggauli Para Isteri Baginda

Pada waktu-waktu ini, Baginda menjauhkan diri dari menggauli isteri-isteri Baginda. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas disebutkan bahawa Baginda melipat tempat tidur Baginda.

“Adalah Rasulullah SAW jika telah masuk sepuluh hari terakhir bulan Ramadan, beliau mengencangkan kainnya, menghidupkan malamnya, dan membangunkan keluarganya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

4. Mandi Antara Maghrib Dengan Isya’

Ibnu Abi Hatim meriwayatkan dari Aisyah ra, berkata:

“Di bulan Ramadan, Rasulullah biasanya tidur dan bangun malam, namun jika telah masuk 10 hari terakhir, beliau mengencangkan ikat pinggang, menjauhi isteri-isterinya, dan mandi di waktu antara Magrib dan Isya’.”

Hal ini untuk menyegarkan tubuh untuk berjaga malam dan mengerjakan ibadah sepanjang malam itu.

5. Beriktikaf

Aisyah RA berkata:

“Nabi SAW melakukan iktikaf di 10 hari terakhir bulan Ramadan sampai beliau meninggal. Kemudian, isteri-isterinya yang melakukan iktikaf sepeninggalan beliau.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tujuan Rasulullah SAW beriktikaf pada 10 hari terakhir adalah untuk menghentikan kesibukan dunia, mengosongkan fikiran, mengasingkan diri untuk bermunajat kepada Allah. Pada waktu ini juga Baginda menghabiskan malamnya dengan berdoa dan berzikir kepada Allah SWT.

Ustaz Don Danial, menyeru semua umat islam pulun lah selagi boleh walaupun tinggal 5 malam terakhir, kerana tiada siapa yang tahu datangnya malam lailatul qadar.

SUMBER: KULIAH SUBUH DI MASJID NEGERI SHAH ALAM & TAZKIRAH.NET