Meneruskan kehidupan di zaman sekarang ini amat berat cabarannya, terutama soal kewangan. Bekerja siang malam, demi kelangsungan hidup. Tapi ada juga yang hasilnya cuma kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Setiap rezeki ini sebenarnya atas sandaran dan keberkatan dariNya. Video yang dikongsikan oleh Penerbit, Content Creator, Vlogger, Sujimy Mohamad yang menemubual Ustaz Hasbi Hassan, Presiden Singapore Islamic Scholars & Religious Teachers Association (PERGAS) menghadiahkan amalan untuk membantu seseorang keluar dari segala kesempitan hidup. Insya-Allah.

Amalan Mudah Ikut

Ini amalan yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w kepada seseorang yang datang mengadu padanya tentang hidupnya yang dirundung kesempitan hidup.

1.    Beri Salam

Bila pulang dan ada orang di rumah, Rasulullah s.a.w minta kita beri salam.

"Assalammualaikum warah matullahi wabarakatuh"

Maksudnya: "Semoga keselamatan, keberkahan dan kasih sayang (rahmat) dari Allah SWT menyertai Anda/kalian."

Bila tiada orang di rumah, Rasulullah minta beri salam kepada diri Baginda sebagaimana ucapan yang biasa disebut dalam tahiyat akhir.

"Assalamu'alaika aiyuhan nabiyu warahmatullayhi wabarakatuh"

Maksudnya: "Salam atasmu wahai Nabi dan rahmat Allah dan keberkatanNya."

2.    Baca Surah Al-Ikhlas

Selepas beri salam pada orang yang di rumah atau pada Rasulullah s.a.w bacalah surah Al-Ikhlas.

Dalam riwayat yang lain diceritakan kalau seseorang membaca surah Al-Ikhlas

1 kali - Dirinya akan diberkati.

2 kali - Dirinya diberkati, ahli keluarganya diberkati.

3 kali - Dirinya diberkati, ahli keluarganya diberkati, jiran tetangganya diberkati.

"Hatta jiran tetangga yang bukan Islam sekali pun Allah berkati. Cuma cara keberkatan itu berbeza. Bagi kita pula Allah berkati apabila hidup kita dengan mereka berbaik-baik, tak bergaduh, tak berbalah. Itulah keberkatannya."

Kisah Orang Yang Mendatangi Rasulullah s.a.w

Selang beberapa waktu, selepas orang itu mengamalkan apa yang Rasulullah s.a.w ajar, dia datang kembali kepada Baginda dan memberitahu hidupnya sudah berubah.

Kalau dulu sempit, sekarang jadi lapang. Dulu susah, sekarang jadi senang. Dulu rezekinya sempit, sekarang melimpah-limpah kepada jiran tetangganya. Mereka pun mendapat sama keberkatan yang diamalkan.

Tapi masa yang sama seseorang perlulah BERUSAHA. Maksud daripada amalan tersebut. Allah tunjukkan jalan-jalannya. Macam mana nak lapangkan kehidupan, kita kenalah berusaha. Bukan bermakna Rasulullah s.a.w ajar kita tak buat apa-apa atau berpeluk tubuh saja. Bukan begitu.

Perubahan Hidup Seseorang Dari Seberang Tambak

Seseorang dari Seberang Tambak pernah bertemu Ustaz Hasbi. Waktu itu dia berhadapan masalah yang sama. Hidupnya susah, rezekinya sempit. Macam-macam problem dihadapi. Beliau beritahu tentang amalan ini padanya. Dia amalkan dan selang beberapa bulan, orang itu bertemu kembali Ustaz Hasbi menyatakan perubahan yang dialami.

Begitulah dalam meniti kehidupan ini, berusahalah untuk menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w dengan banyak membaca surah Al-Ikhlas.

Semak Video Amalan Lapangkan Kehidupan & Luaskan Rezeki

 

Sumber, Foto & Video: Sujimy Mohamad Official Page, shakirwebblog.blogspot.my