• Pengikut Syiah terima keputusan kerajaan negeri Bahagian dalam pusat Hussainiah Az-Zahra di Alor Berala Tobiar Pendang. Dalam bulatan: Batu Kabala yang digunakan untuk solat.
1 /

PENDANG – Pengikut Syiah Kedah menerima secara terbuka keputusan kerajaan negeri untuk mewartakan fatwa anti fahaman itu.

Ketua Syiah Kedah, Abdullah Hassan berkata, tindakan kerajaan negeri untuk mewartakan fatwa anti-Syiah boleh dilakukan jika itu dianggap sesuatu yang perlu untuk membendung penularan fahaman itu dalam masyarakat Islam negara ini yang majoritinya adalah Ahlul Sunnah Wal Jamaah.

“Tetapi kalau tindakan mewartakan fatwa anti Syiah itu bertujuan untuk menghapuskan ajaran Syiah, saya anggap itu tindakan anti nasional yang menyalahi peruntukan Perlembagaan Negara.

“Bagi saya penularan ajaran Syiah bukan dilakukan oleh penganut Syiah tetapi pendedahan yang dibuat oleh beberapa pihak seperti para agamawan, ilmuwan yang menyampaikan ceramah mereka di setiap masjid dan surau mengutuk, menghina dan memaki Syiah,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di  Pusat Hussainiah Az-Zahra (pusat pembelajaran fahaman Syiah) di Kampung Alor Berala, Tobiar, dekat sini, semalam.

Abdullah berkata, Syiah yang diamalkan di negara ini khususnya di Kedah adalah Syiah Imammiah (Jaafariah) sebagaimana dalam deklarasi Syiah turut terkandung akuan bersumpah mentaati Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu serta mempertahankan kedaulatan undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Negara membenarkan kebebasan beragama.

“Deklarasi itu telah diterima oleh Perdana Menteri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan Bangsa-Bangsa Bersatu di Malaysia. Pokok kepercayaan dalam Mazhab Imammiah ini adalah berdasarkan At-Tauhid, keadilan Ilahi, Kenabiah, Imamah (kepercayaan kepada Imam 12 selain daripada Rasulullah SAW,” katanya.