Hujung minggu ini pasti ramai ibu bapa mengambil peluang untuk melakukan aktiviti bersama keluarga. Antara aktiviti kegemaran kanak-kanak termasuklah mengunjungi kawasan-kawasan berair untuk berkelah.

Dalam bergembira berkelah di sini kita tidak sedar sebenarnya ada bahaya yang menanti. Ikuti panduan selamat agar perkelahan menjadi percutian yang menyeronokkan dan bukan sebaliknya.

SUNGAI

- Berikan pengawasan semaksimum yang boleh oleh keluarga atau orang yang lebih dewasa. Pengawasan sepanjang aktiviti dijalankan sama ada mandi atau bersuka ria di pinggir sungai.

- Memastikan jarak tempat istirahat keluarga tidak terlalu jauh dari lokasi anak-anak bermain. Langkah ini penting bagi memberikan bantuan kecemasan yang cepat jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

- Membawa peralatan dan barang keperluan yang mencukupi termasuk pelampung, floating, makanan dan minuman, ubat-ubatan, dan semua yang diperlukan.

LAUT

- Agihkan tugas pengawasan secara sistematik supaya tidak timbul isu kelekaan atau kecuaian dalam pengawasan anak-anak. Pengagihan tugas dan main peranan menghindari berlakunya lepas tangan atau saling menyalahkan antara satu sama lain jika kejadian yang tidak diingini berlaku.

- Usah pandang ringan kepada tahap kedalaman air laut. Meskipun nampak seperti tidak dalam, maka harus berhati-hati dan tidak terlalu berani untuk mencuba. Pemantauan orang dewasa dan mereka yang pandai berenang adalah penting.

- Lokasi perkelahan santai keluarga haruslah lebih dekat dengan pantai supaya aktiviti anak-anak masih boleh dilihat dari jarak yang dekat.

KOLAM RENANG

- Pengawasan oleh orang dewasa dan yang pandai berenang sepanjang aktiviti berlangsung terutamanya kepada anak-anak kecil atau yang tidak pandai berenang. Pengawasan tanpa batasan meskipun di tempat yang tidak dalam kerana bahaya ada di mana-mana.

- Pastikan anak-anak memakai pakaian renang yang bersesuaian dan mematuhi ciri-ciri keselamatan kerana jika pakaian tidak sesuai, kemalangan dalam kolam juga akan berlaku dan mengakibatkan lemas dan sebagainya. Pakaian dan kelengkapan renang perlu disediakan.

- Pastikan kolam renang tersebut lengkap dengan pengawal keselamatan atau bantu mula/kecemasan (safe guard) bagi memberi bantuan kecemasan sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

TAMAN TEMA AIR

- Membuat kajian atau pembacaan tentang taman tema air tersebut dari segi kebersihan, keselamatan dan juga kesesakan.

Jika ia diragui tentang kebersihan, maka elakkanlah dari mengunjungi tempat berkenaan kerana ada kes kencing tikus atau virus dijangkiti di taman tema air.

- Memberi arahan keselamatan yang jelas kepada ahli keluarga terutamanya anak-anak sebelum mengunjungi tempat berkenaan.

-Usah ambil mudah jika anak-anak ingin mencuba permainan yang ada di taman tema. Pastikan ia selaras dengan usia dan kemampuannya. Seboleh-bolehnya, teman anak-anak dalam apa jua aktiviti yang ingin dilakukan.

TASIK BUATAN

-Sensitif dan peka dengan tahap kedalaman tasik terutamanya risiko pasir jerlus yang membahayakan. Maka pemantauan juga asas yang paling penting.

-Usah terlalu leka dengan aktiviti orang dewasa, tetapi sebaiknya sentiasa memerhatikan anak-anak sepanjang masa.

- Mencari informasi secukupnya tentang tempat yang ingin dikunjungi. Informasi yang diperlukan meliputi hal keselamatan, kebersihan, kemudahan asas dan lokasi yang tidak terlalu jauh daripada kemudahan awam. Jika berlaku kemalangan, maka bantuan adalah mudah diperoleh.