GERAI di barisan hujung bawah pokok ketapang ini cukup terkenal di kalangan penduduk Bangsar. Kelazatan kari kepala ikan milik Anuar Zainal menyebabkan ramai pelanggan sanggup beratur panjang hanya untuk menikmati lauk kari kepala ikannya.

Di samping lauk kari, aroma rempah ayam dan sotong goreng juga sudah cukup kuat memikat pelanggan untuk terus setia berulang makan di sini.

Terletak di Lucky Garden, Bangsar gerai ini mudah dicari iaitu di belakang pasaraya TMC yang dahulunya Giant lama. Setibanya anda di sana, dari jauh sudah kelihatan pelanggan yang ramai di sini.

Nama sebenar gerai ini adalah Bangsar Fish Head Corner tetapi ramai yang lebih mengenalinya sebagai Kari Kepala Ikan Anuar Bawah Pokok, panjangkan namanya namun ia mudah sahaja terpahat di memori pelanggan yang kebanyakkannya adalah pelanggan setia. Pokok ketapang menyebabkan gerai ini redup dan terlindung dari kepanasan matahari.

Paling menarik ialah set makanan tengaharinya yang mencecah semurah RM 3, terdiri daripada nasi, ayam goreng dan sayur taugeh. Mana nak cari harga semurah ini di tengah Kuala Lumpur. Manakala set nasi dengan sotong goreng dan ayam goreng di bawah RM10. Jika di tempat lain seekor sotong sahaja sudah mencecah RM 7 hingga RM8.

Bercerita pasal menu kari ikan pastilah kari kepala ikan menjadi pilihan hangat di sini. Di antaranya kepala ikan jenahak, merah, kerapu dan kurau.

Bagi kepala ikan yang bersaiz sederhana kecil paling minima harganya RM 20. Rahsia kelazatan karinya pastilah kerana resepi rempah yang diadun sendiri, dia tidak menggunakan rempah peket yang siap dijual.

Tetapi rempah ratus warisan keluarga turun temurun. Kuahnya pekat dan bau enaknya sudah cukup menyebabkan sesiapa pun terliur melihat sajian ini.

Menurut pemilik gerainya Anuar ikan yang didapatinya adalah segar daripada pembekal ikan yang sudah lama berurus niaga dengannya.

Pernulis melihat Anuar cukup mesra dan ramah dengan pengunjung yang datang membeli dan menjamu selera di sini. Mungkin juga faktor keramahannya juga menjadi daya tarikan memikat hati pelanggan.

Jika anda ke Bangsar jangan lupa singgah ke sini bukan sahaja harganya murah berbanding kedai kari kepala ikan yang lain tetapi rasanya sungguh sedap dan membangkit selera.

INFO KEDAI:

PEMILIK : Anuar Zainal

ALAMAT : Lucky Garden, Bangsar (di belakang pasaraya TMC)

WAKTU OPERASI: Isnin - Sabtu, 9 pagi hingga 4 petang

WAJIB CUBA : Kari Kepala Ikan Merah, Jenahak, Kurau, Kerapu, Ayam Goreng dan Sotong Goreng