MASA itu emas. Benarlah pepatah Melayu ini yang menunjukkan betapa berharga dan tidak ternilainya masa. Masa yang telah berlalu tidak akan kembali. Begitu juga dengan tarikh keramat kepada rakyat Malaysia iaitu 9 Mei 2018 yang pastinya semakin lama semakin meninggalkan kita.

Dunia dan masa bergerak pantas. Kata Seniman P Ramlee, 'barang yang lepas jangan dikenang, kalau dikenang meracun diri'. Bait-bait indah petikan lagu daripada filem Nasib Si Labu-Labi tahun 1963 ini benar-benar menginsafkan setiap individu untuk tidak melihat kebelakang dan sepatutnya terus memikirkan apa yang akan dilakukan selepas demam PRU14 melanda negara.

Sedar tak sedar kita sekarang telah menghampiri abad ke-21. Ia akan bermula apabila planet Bumi memasuki tahun 2020. Kehadiran abad ke-21 akan disambut dengan satu lagi perubahan iaitu revolusi perindustrian edisi ke-4 (Industri 4.0). Jika sebelum PRU-4, Industri 4.0 merupakan topik hangat yang dibincangkan oleh media massa, namun kini ia seolah-olah ditenggelami oleh peristiwa, drama dan saga pasca PRU-14.

Antara yang mendapat liputan meluas adalah pembaharuan yang ingin diketengahkan oleh kerajaan semasa iaitu nilai insani dan kemanusiaan dalam pengurusan negara. Hakikatnya, penulis juga telah pun membincangkan nilai kemanusiaan dan kepentingannya dalam era Industri 4.0 sebelum PRU14 lagi.

Ini kerana pelbagai pembaharuan, perubahan dan impak akan dibawa oleh Industri 4.0 kepada kehidupan manusia. Tidak salah jika kita katakan bahawa senario kehidupan manusia mulai tahun 2020 akan berbeza daripada yang kita lalui sekarang.

Apakah yang akan berlaku sebenarnya mulai tahun 2020? Pada tahun 2020, planet Bumi dianggarkan mempunyai jumlah populasi penduduk sekitar 7.6 bilion orang. Pada masa yang sama, populasi peranti elektronik yang saling berinteraksi antara satu sama lain adalah pada sekitar 50 bilion.

Maksudnya di sini, dunia akan dihuni dan didominasi oleh peranti elektronik, serta ia mengatasi jumlah manusia. Pada waktu itu, pelbagai teknologi baru akan wujud seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Walaupun kita sedia maklum bahawa teknologi baru biasanya memudahkan kehidupan manusia, ia juga akan menjadi cabaran baru kepada kehidupan peribadi dan pekerjaan manusia.

Antara kebimbangan yang paling menghantui umat manusia pada waktu itu ialah kebergantungan kepada tenaga manusia dalam sektor pekerjaan akan berkurangan. Kebimbangan ini sekiranya tidak ditangani dengan berkesan mungkin membawa kepada stres pekerjaan.

INDUSTRI 4.0

Secara umumnya, Industri 4.0 membawa negara berdepan dengan beberapa perubahan. Antaranya, Industri 4.0 akan:

  1. Mengoptimum pengeluaran melalui Kilang Pintar: Kilang pintar ialah suatu sistem perkilangan yang beroperasi melalui gabungan penuh dan luwes bagi mempelajari dan memenuhi keperluan-keperluan baru. Kilang pintar berupaya menggabungkan data daripada sistem fizikal, operasi dan sumber manusia untuk memacu sektor pembuatan, pendigitalan operasi dan sebagainya. Ia akhirnya menghasilkan suatu sistem yang cekap dan tangkas, pengurangan masa operasi pengeluaran dan keupayaan mengubahsuai rekaan sesuatu keluaran dalam tempoh yang singkat.   Kilang pintar memiliki jutaan peranti pintar yang mampu beroperasi secara automatik. Oleh yang demikian, produktiviti pengeluaran dapat ditingkatkan berlipat ganda.
  1. Mengubahsuai pasaran menjadi lebih luwes dan berpusat pelanggan untuk memenuhi permintaan populasi dunia secara cepat dan lancar: Komunikasi secara langsung antara pengilang dan pelanggan mempercepatkan pengeluaran dan penghantaran. Pasaran akan menjadi lebih luwes yang mana pengguna mempunyai pelbagai pilihan pengeluar dan pembekal untuk dipilih. Selain itu, kuasa pengguna sebagai raja ditingkatkan kerana pengeluaran dan bekalan produk akan dihasilkan mengikut spesifikasi yang diminta oleh pengguna.
  1. Mewujudkan ruang penyelidikan baharu dalam pelbagai disiplin ilmu: Latihan dan pembangunan sumber manusia mengalami perubahan melalui permintaan kepada pengetahuan dan kemahiran baru dalam kalangan pekerja. Selain itu keperluan kepada pengetahuan dan bidang baru meningkat.
  1. Mewujudkan Negara Pintar melalui Kerajaan Digital: terdapat asas kebersamaan antara Industri 4.0 dan Kerajaan Digital yang digunapakai oleh kerajaan di seluruh dunia. Industri 4.0 mendokong teras strategik ICT kerajaan digital yang berasaskan teknologi digital dan automasi.

Perubahan yang dinyatakan di atas sebagai pendekatan pasca PRU14 akan hanya berjaya dilaksanakan selepas mengambilkira aspek kemanusiaan yang boleh disimpulkan sebagai pengurusan sumber manusia hijau.

Pengurusan sumber manusia hijau menurut penulis merujuk kepada amalan dan polisi pengurusan sumber manusia yang menghargai persekitaran melalui konsep kejat (lean) dan tangkas (agile). Dalam konteks pengurusan sumber manusia hijau, penekanan dan fokus utamanya adalah kelestarian individu dalam persekitaran daya saing organisasi.

SUMBER MANUSIA HIJAU

Bagi membolehkan organisasi dan Negara diurus melalui konsep pengurusan sumber manusia hijau, ia perlulah memiliki sumber manusia hijau juga. Lapan ciri utama yang perlu ada pada seseorang individu dan warga organisasi bagi membolehkan dia diiktiraf sebagai sumber manusia hijau. Ciri-ciri sumber manusia hijau tersebut adalah seperti penjelasan berikut.

  1. Kejat: Konsep kejat diadaptasi daripada konsep yang diperkenalkan oleh Toyota dalam pengeluaran automotifnya. Di Toyota, kejat ditakrif sebagai mengoptimumkan pengeluaran melalui kecekapan dan pengurangan pembaziran sumber. Individu yang mempunyai ciri-ciri kejat berupaya mengatur gerak kerjanya untuk menghasilkan lebih nilai dalam hasil kerjanya di samping mengurangkan pembaziran sumber ke tahap yang paling rendah.
  2. Tangkas: Tangkas adalah suatu ciri yang menggambarkan ketangkasan dalam bertindak menangani perubahan. Individu yang tangkas berupaya mencipta dan bertindak balas pantas untuk berjaya dalam persekitaran yang tidak menentu, organik dan dinamik.
  3. Malar segar (Evergreen): Individu yang dikatakan sebagai malar segar mempunyai pelbagai kemahiran dan pengetahuan seiring dengan zaman di mana dia berada. Kewujudannya bolehlah disimpulkan sebagai tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Dia sentiasa signifikan walaupun hidup melangkaui beberapa zaman.
  4. Luwes: Individu yang luwes berupaya melaksanakan pelbagai fungsian dan peranan dalam suatu masa.
  5. Sihat fizikal: Individu yang sihat secara fizikal dan mampu bekerja menjadi antara ciri penting dalam sumber manusia hijau. Individu yang sihat secara fizikalnya mampu berfikir dan bergelagat secara normal.
  6. Sihat mental: Individu yang sihat secara mental pula mempunyai keupayaan kognitif yang munasabah. Oleh itu, pembuatan keputusan dan aktiviti yang dijalankannya dilakukan secara rasional.
  7. Individu seimbang: Individu seimbang dapatlah digambarkan sebagai individu yang berupaya mengimbangi tuntutan kehidupan peribadi dan kerjaya. Seorang individu memainkan pelbagai peranan dalam hidupnya. Dia adalah ibu/ bapa/ anak, ahli masyarakat dan juga pekerja. Kesemua peranan ini menuntut sejumlah perhatian tertentu. Hanya individu yang berupaya mengimbangi kesemua tuntutan dan tanggung jawab tersebut mampu berperanan secara bijak, cekap dan produktif.
  8. Produktif: Individu yang produktif berupaya melaksana tugas dan peranannya bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

Tempias Industri 4.0 ini sudah pastinya membawa pelbagai bentuk emosi dalam kalangan individu dan warga kerja organisasi terutamanya dari aspek keperluan khidmat mereka, keperluan kemahiran dan cabaran persekitaran masa hadapan. Kesemua ini perlu diambilkira dalam pembangunan Malaysia Baharu sebagai pasca PRU14.

Justeru, kesejahteraan emosi yang memberi penekanan aspek insani dan kemanusiaan perlu diterapkan dalam strategi pendidikan dan pembangunan sumber manusia Negara. Melalui pendidikan dan pembangunan sumber manusia tersebut akan dijadikan asas kepada teras pembentukan Malaysia Baharu yang lebih harmoni di samping melahirkan insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.  

* Prof Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul, Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia