PERKEMBANGAN pelbagai inisiatif bagi mendepani Industri 4.0 di Malaysia turut menunjukkan pengiktirafan kepada bidang kejuruteraan dalam mengubah kehidupan manusia.

Pelbagai produk akan tercipta bagi memenuhi keperluan pengguna khususnya masyarakat di Malaysia. Pertalian antara kejuruteraan dan manusia membawa kepada pendekatan ergonomik. Ergonomik merujuk kepada reka bentuk peralatan dan persekitaran yang bertujuan meminimumkan kesakitan dan ketidakselesaan.

Pendekatan ergonomik amat bermakna kepada semua pemegang taruh dalam keterujaan meraikan kedatangan gelombang Industri 4.0. Tumpuan terhadap pelaburan dalam teknologi pengkomputeran dan automasi tidak akan bermakna sekiranya kesejahteraan masyarakat dikesampingkan.

Kesejahteraan dapat dicapai apabila minimumnya gangguan otot rangka (muskuloskeletal) dan pelbagai simptom anggota bahagian atas badan, bawah badan dan kepala.

Inilah penyakit membimbangkan yang mendepani generasi muda pada masa hadapan khususnya kepada anak-anak penggemar aktiviti basikal lajak.  

Suka mencuba

Secara semula jadi, anak-anak awal usia remaja ada sahaja onarnya. Mereka ini aktif, kreatif dan sentiasa tinggi tahap adrenalinnya. Oleh yang demikian, mencuba sesuatu yang baharu dan pelik adalah kegilaan mereka. Antara yang masih hangat diperkatakan dan menjadi trend kepada anak-anak setahun jagung ini adalah menunggang basikal lajak.

Entah dari mana dan siapa yang memulakan jenis basikal ini sukar dikenal pasti asal-usulnya. Menurut pelbagai laporan di dada akhbar, fenomena basikal lajak ini telah lama wujud di Malaysia, iaitu kira-kira 10 – 15 tahun dahulu. Penunggangnya pula adalah dalam kalangan anak-anak sekolah berusia 12 hingga 16 tahun.

Sebelum ini basikal lajak tidaklah begitu popular sehinggalah seramai 8 remaja penunggang basikal lajak terbunuh akibat kemalangan di Jalan Lingkaran Dalam Johor Bahru pada 18 Februari 2017. Ini bukanlah satu-satunya kes kemalangan maut melibatkan penunggang basikal lajak.

Kemalangan demi kemalangan berlaku di seluruh negara sehingga memaksa pasukan keselamatan seperti PDRM membuat operasi khusus bagi membendung kegilaan remaja berbasikal lajak. Tidak cukup dengan itu, ada pihak berkuasa tempatan yang melakukan kajian semula peruntukan perundangan berkaitan aktiviti menunggang basikal.

Bagi menunjukkan betapa isu kemalangan yang membabitkan penunggang basikal lajak ini perlu dibendung, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pernah mengeluarkan kenyataan bahawa ia berusaha menggariskan beberapa cadangan mengekang penularan aktiviti berbasikal lajak dalam kalangan kanak-kanak serta mewujudkan silibus khas keselamatan dan undang-undang jalan raya kepada pelajar sekolah.

Tidak ergonomik

Apa itu basikal lajak? Secara ringkasnya basikal ini adalah basikal yang diubahsuai pada bahagian-bahagian tertentu. Basikal Chopper adalah jenis basikal yang menjadi pilihan untuk diubahsuai menjadi basikal lajak. Kebiasaannya, pengubahsuaian dibuat kepada pemegang dan rim basikal. Bagi yang terlebih kreatif, badan basikal ditebuk dan dimasukkan simen agar basikal menjadi lebih berat.

Antara ciri-ciri penting yang perlu ada pada basikal lajak ini, ia mestilah rendah, memiliki rim plastik yang ringan, mempunyai pemegang yang lurus, tiada brek dan tiada lampu. Belanja bagi mengubahsuai basikal menjadi basikal lajak adalah pelbagai mengikut kemampuan pemiliknya. Paling murah biasanya ratusan ringgit, namun ada kalanya mencecah ribuan ringgit.

Adakah basikal lajak ini mempunyai ciri-ciri ergonomik? Jawapannya sudah terang lagi bersuluh, pastilah tidak! Dengan ketinggian basikal kira-kira 60 sentimeter (2 kaki), ia menyebabkan kedudukan tubuh badan si penunggang bongkok dan lutut terlipat serta melebihi ketinggian pemegang basikal semasa menunggang. Ditambah dengan ketiadaan brek dan lampu keselamatan, basikal ini amat bahaya jika ditunggang menuruni bukit dan pada waktu malam.

Sebuah basikal akan dikatakan mempunyai ciri-ciri ergonomik apabila ia mempunyai ciri-ciri berikut:

1. Ia memberi keselesaan kepada penunggangnya terutamanya di bahagian otot belakang, otot bahu, tangan, punggung, kaki dan otot perut. Tekanan yang berlebihan kepada mana-mana bahagian tubuh badan ini akan menyebabkan ketidakselesaan, kesakitan dan kecederaan. Sebagai contoh, tempat duduk yang terlalu tinggi atau terlalu rendah akan memberi tekanan dan rasa sakit kepada bahu dan lutut.

2. Ia memberikan kedudukan tubuh badan yang dinamik dengan mengizinkan tulang belakang si penunggang berada dalam bentuk ‘S’. Jika tulang belakang penunggang berada dalam keadaan melengkung, ia akan menyebabkan kesakitan kepada si penunggang.

3. Ketinggian basikal mestilah bersesuaian dengan ketinggian penunggangnya. Aspek yang perlu diberi perhatian adalah ketinggian rangka basikal, ketinggian tempat duduk dan ketinggian pemegangnya. Jika ingin membeli basikal, pastikan ketinggian tempat duduk dan pemegangnya boleh dilaraskan sesuai dengan ketinggian penunggang.

4. Ketinggian tempat duduk mestilah membolehkan kaki penunggang diluruskan apabila basikal berada dalam keadaan statik. Semasa basikal bergerak, lutut sepatutnya boleh dibengkokkan sedikit tetapi tidak melebihi ketinggian pemegang basikal.

5. Ketinggian pemegang basikal yang sesuai dalam semua keadaan penunggangan adalah ketinggian yang mengizinkan kedudukan tulang belakang, bahu dan tangan penunggang berada dalam kedudukan 90 darjah.

6. Pemegang basikal perlulah sedikit bengkok bagi mengelakkan penunggangnya mengalami sindrom terowong karpal (carpal tunnel syndrome, CTS). Selain itu, pemegang mestilah mempunyai sarung pemegang yang lembut dan memberi keselesaan kepada penunggang.

Ciri-ciri sebuah basikal yang ergonomik yang disenaraikan seperti di atas adalah yang sesuai dan selamat untuk ditunggang. Hakikatnya, reka bentuk produk yang ergonomik adalah cetusan idea bidang kejuruteraan yang boleh dimanfaatkan oleh manusia secara keseluruhannya.

Reka bentuk ergonomik merupakan reka bentuk yang telah menerapkan elemen faktor kemanusiaan yang mana produk dicipta melalui adaptasi keadaan fizikal serta keperluan pengguna.

Justeru, reka bentuk ergonomik lebih bertujuan meminimumkan kesakitan dan ketidakselesaan individu semasa melakukan aktiviti atau tugas seharian.

Sekarang terpulanglah kepada pengguna dan pembeli basikal tersebut. Tepuk dada, tanyalah selera. Pilihan adalah di tangan anda, namun harus diingat bahawa keselamatan dan ciri-ciri ergonomik adalah faktor utama yang perlu dipertimbangkan apabila membeli sesuatu seperti basikal.

 * Prof Dr Zafir Khan bin Mohamed Makhbul Timbalan Dekan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia