JIKA anda bukan penggemar bilik hostel, apartment atau homestay, bolehlah pertimbangkan Ibis Style Osaka. Hotel bertaraf tiga bintang ini punya banyak kelebihan kerana ia terletak di tengah-tengah kawasan tarikan pelancong Dotonbori.

Biarpun harga bilik di sini tidaklah semurah Ibis Style Kuala Lumpur, tetapi percayalah ia satu pilihan bijak, dan anda tidak akan menyesal.

Salah satu kelebihan Ibis Style Osaka ialah ia sangat mudah diakses dari mana-mana lokasi kerana kemudahan pengangkutan awam cuma berhampiran.

Hoqwart Castle & Hogsmead Village.

Stesen keretapi utama, Namba Station hanya 10 minit dari hotel jika berjalan kaki. Ini bermakna anda boleh meneroka ke segenap pelusuk Osaka tanpa sebarang masalah. Malah boleh jimat duit dan jimat tenaga!

Menawarkan 343 buah bilik, harga bilik di sini bermula daripada JPY10,000 sebelum cukai dan caj perkhidmatan. Jika anda hanya berdua, boleh pilih Standard Room atau Superior Room.

Bagi yang bercuti bertiga atau berempat, boleh berkongsi bilik Deluxe Room yang memuatkan empat buah katil bujang atau Japanese Tatami Room untuk pengalaman menarik.

Satu lagi kelebihan hotel ini yang perlu diambil kira ialah, kebolehan petugas hotel bertutur dalam Bahasa Inggeris. Jadi mudah untuk mendapatkan sebarang pertolongan atau travel info yang diperlukan. Bahkan, setiap permintaan dipenuhi dalam waktu yang singkat. Perkara ini memang sangat diperlukan lebih-lebih lagi jika anda baru pertama kali melawat Jepun.

Pengalaman membeli-belah menyeronokkan

Memandangkan lokasi membeli-belah Shinsaibashisuji dan Ebisubashi hanya berdekatan, jadi anda boleh meluangkan masa membeli-belah hanya perlu naik turun pengangkutan awam.

Sama ada jenama antarabangsa atau jenama tempatan, pengalaman membeli-belah di sini memang menyeronokkan.

Lebih-lebih lagi ada produk-produk yang dijual tidak terdapat di Malaysia. Jika ada potongan harga, pasti senyuman anda lebih lebar kerana harganya pasti berbaloi.

Selain mendapatkan pakaian, kasut, aksesori fesyen dan juga gajet, di kawasan ini juga anda boleh mencari ole-ole untuk dihadiahkan kepada teman-teman atau kaum keluarga. Jangan lupa singgah di kedai cenderamata JPY399 untuk pilihan yang lebih bijak.

Ada shopping beg, rantai kunci, chopstick, tabung, coin pouch, lukisan dinding dan banyak lagi. Selain itu jangan lupa singgah Daiso Japan. Banyak pilihan barangan yang boleh dijadikan cenderahati.

Penat membeli-belah boleh rehatkan kaki dengan menikmati secawan Teh Hijau dan Tat Keju di Pablo Dotonbori.

Pablo Dotonbori

Berbanding di Malaysia, Pablo di sini menawarkan pelbagai perisa seperti strawberi, oren, kacang merah dan ubi bit merah.

Selain itu boleh juga ikut Dotonbori River Cruise untuk menikmati kerlipan neon yang menghidupkan suasana malam Dotonbori. Tiket dewasa berharga JPY700 dan kanak-kanak JPY300. Jika anda menggunakan Osaka Amazing Pass, tarikan ini boleh diikuti secara percuma.

Universal Studio Japan? Mengapa tidak?

Dari Ibis Style Osaka, tidak susah untuk ke taman tema popular ini. Hanya mengambil masa kira-kira 35 minit menggunakan keretapi transit aliran ringan (MRT) dan JR Lines.

Mula beroperasi pada 2001, taman tema ini terbahagi kepada sembilan bahagian iaitu New York, Hollywood, San Francisco, Jurassic Park, Waterworld, Amity Village, Universal Wonderland and The Wizarding World of Harry Potter dan yang terbaru Minion Park.

Untuk menjelajah keseluruhan taman tema ini dalam masa sehari anda harus bijak merancang perjalanan. Itupun kalau pengunjung tidak ramai.

Dua bahagian yang wajib dilawati ialah The Wizarding World of Harry Potter dan Minion Park. Kedua-dua tarikan ini cukup popular sehingga pada waktu puncak, pengunjung terpaksa beratur menunggu giliran hampir dua jam.

Tarikan yang mesti dicuba ialah Harry Potter And The Forbidden Journey in 4K3D yang membawa pengunjung mengembara ke pelusuk Hogwart.

Tarikan yang memenangi pelbagai anugerah ini memberikan pengalaman yang cukup menarik. Begitu juga dengan Despicable Me Minion Mayhem. Kedua-dua tarikan ala roller coaster ini membuatkan adrenalin meluncur laju.

Jadi, apa tunggu lagi? Jika tiket ke Osaka sudah dibeli, cepat-cepat buat tempahan di Ibis Style Osaka. Bimbang nanti, rencana menikmati musim bunga Sakura menjadi huru-hara kerana lokasi penginapan yang tidak selesa.