DENGAN matlamat untuk menggalakkan cara hidup yang sihat, AIA Bhd (AIA) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melancarkan Laman Cergas AIA Vitality pertama – sebuah gimnasium luar yang direka khas di Taman Metropolitan Kepong, dengan matlamat untuk menggalakkan rakyat Malaysia kekal lebih cergas dan menjauhi gaya hidup tidak aktif.

Dalam tinjau selidik yang dilakukan baru-baru ini, Malaysia didapati merupakan antara negara paling kurang aktif dari segi fizikal di dunia, dengan lebih 60% penduduk dewasa berpuas hati dengan cara hidup yang terikat oleh tuntutan kerja mereka di pejabat tanpa niat untuk bersenam.

Seramai 54% daripada rakyat Malaysia juga berkata amalan bersenam terlalu membebankan, manakala 78% berkata rutin senaman memerlukan banyak masa.

Faktor-faktor ini semakin ketara selaras dengan hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan [Institut Kesihatan Umum, Kementerian Kesihatan (Malaysia), Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH).

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2016] juga menyatakan  dalam tempoh 30 tahun lepas, kadar kegiatan fizikal dalam kalangan rakyat Malaysia telah berkurangan, dengan bilangan Diabetes Jenis 2 meningkat empat kali ganda dan kadar kegemukan juga melonjak sebanyak 280%.

Ketua Pegawai Eksekutif AIA Bhd, Anusha Thavarajah, berkata matlamat utama mereka adalah untuk menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan kehidupan sihat menerusi aktiviti fizikal, bermula dengan komuniti di Taman Metropolitan Kepong.

"Dalam jangka panjang, kami berharap untuk mendorong lebih ramai rakyat Malaysia ambil tindakan, mula menggerakkan otot badan dan menjadi lebih sihat,” katanya.

Menurut Indeks Kehidupan Sihat AIA 2018, tahap kepuasan seluruh rakyat Malaysia terhadap kesihatan telah meningkat daripada 79% pada 2016, kepada 82% pada 2018.

Peningkatan ini hakikatnya menandakan bahawa rakyat Malaysia mahu melakukan sesuatu yang bermanfaat, dan semakin menitikberatkan soal kesihatan, kerana Indeks Kehidupan Sihat AIA juga mendapati bahawa mereka menghabiskan sekurang-kurangnya 3.5 jam seminggu untuk bersenam, berbanding 2.6 jam dua tahun lepas.

Kajian ini juga mendapati bahawa lebih separuh daripada responden Malaysia berhenti bersenam apabila mereka merasakan senaman menjadi terlalu membebankan. Seramai 78% daripada penduduk Malaysia berkata salah satu daripada halangan paling besar untuk mengekalkan gaya hidup sihat adalah mencari masa untuk bersenam.

Laman Cergas AIA Vitality dibina berlandaskan niat untuk memudahkan rakyat Malaysia mengamalkan cara hidup yang lebih sihat dan sejahtera, dan menawarkan penyelesaian untuk menangani kekangan seperti masa dan kemudahan yang disediakan.

AIA telah berganding bahu dengan Fitness First untuk memilih mesin senaman bagi latihan litar yang menggerakkan seluruh badan dan dicipta khas untuk semua peringkat kecergasan, menjadikannya amat sesuai bagi orang ramai. Setiap mesin dilengkapi dengan kod QR, yang menghubungkan pengguna terus kepada video tentang cara untuk menggunakan mesin dengan betul.

Taman Metropolitan Kepong seluas 95 hektar dikunjungi oleh individu dari segenap lapisan masyarakat, termasuk kaki sukan, seisi keluarga dan juga penunggang basikal. Dengan menyediakan kemudahan Laman Cergas AIA Vitality di taman, bermakna pengunjung mempunyai ruang tambahan untuk senaman yang menggerakkan seluruh badan.