Bagi ibu yang pertama kali travel menaiki kapal terbang dengan bayi memang berasa bimbang. Sebabnya menjadi kebiasaan untuk anak kecil menangis bila menaiki pengangkutan awam apatah lagi kapal terbang yang janggal buat mereka.

Mana tidak risau kalau tangisan bayi tidak reda-reda sudah tentu mengganggu penumpang lain dalam pesawat  terutama jika perjalanan mengambil masa yang lama.

Perkara ini dilalui oleh seorang lelaki bernama Azuan Jamaludin ketika menaiki pesawat yang antara penumpangnya adalah seorang ibu bersama bayinya.

Menurut beliau anak wanita berkenaan menangis dengan kuat, namun selepas kanak-kanak berkenaan senyap, apa yang dilakukan oleh wanita berkenaan buat ramai terharu dan memuji tindakannya.

Penumpang lain terharu

Selepas pesawat stabil lebih kurang 15 minit dan anaknya berhenti menangis serta tidur, si ibu yang berbangsa Korea itu meletakkan bayinya kemudian bangun dan mengedarkan satu bungkusan kecil kepada penumpang lain sambil meminta maaf.

Dalam bungkusan kecil berisi gula-gula itu tertera satu nota yang menerangkan keadaan bayinya yang pertama kali menaiki kapal terbang. Menjangka perkara ini akan berlaku, ibu itu telah menyediakan bungkusan ini sebagai cenderahati tanda memohon maaf.

Sebenarnya tindakan ibu dari Korea ini bukanlah pertama kali dilakukan. Dia sebenarnya mempraktikkan tip yang dikongsi ibu lain yang mengalami keadaan yang sama sebelum ini.

Apapun tindakan ini sebenarnya perlu dipuji dan cukup untuk membuat penumpang lain memahami malah terharu. Untuk anda yang akan membawa bayi pertama kali menaiki pesawat mungkin boleh melakukan persediaan ini.

Sumber Facebook Azuan Jamaludin