ISTIMEWA buat kaki swafoto atau pencinta dunia fotografi, anda tidak perlu berhabis banyak untuk ke luar negara semata-mata untuk mendapatkan seni foto Salar de Uyuni.

Sky Mirror atau Cermin Langit atau juga dipanggil Salar De Uyuni Malaysia terletak di Kuala Selangor iaitu kira-kira 15 minit perjalanan dari Kampung Sasaran, Kuala Selangor, sebuah perkampungan nelayan masyarakat Cina memiliki segalanya.

Dalam bahasa Cina, mereka menyebutnya “Shasha Lan”. Jadi kita terjemahkannya dalam bahasa Melayu menjadi “Sasaran”.

Fenomena Salar de Uyuni di Sasaran tidak selalu berlaku kerana ia sebenarnya sebuah kawasan pantai. Ia hanya terjadi enam hari pada setiap bulan mengikut kalendar lunar masyarakat Cina iaitu pada pertama, kedua, 14, 15, 16 dan 30 hari bulan. Waktu berlaku air surut ini antara pukul 10.30 hingga 11 pagi. Untuk datang ke sini, anda perlu naik bot lebih kurang 30 minit dari Jeti Sasaran, Kuala Selangor.

Menurut Pengurus Promosi dan Pembangunan Industri Tourism Selangor, Khuzaimah Jamaluddin, Sky Mirror sebenarnya sudah dua tahun lebih diperkenalkan.

“Namun, bagi pelancong domestik ia adalah tarikan terbaharu sedangkan di luar negara terutamanya pelancong di Eropah dan Jepun sering mengunjungi lokasi ini.

“Baru-baru ini, kami bekerjasama dengan Tourism Malaysia di Osaka dan Tokyo, Jepun bawa pelancong untuk lihat Sky Mirror,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dalam dunia ini hanya ada dua Sky Mirror. Satu di Bolivia dan satu lagi di Kuala Selangor. Namun, di Kuala Selangor ini daya tarikannya agak berbeza jika dibandingkan di Bolivia.

“Apa yang menariknya? Kerana ia berada di tengah-tengah laut. Dan untuk sampai ke sana kena naik bot dalam setengah jam dan ia ada waktu-waktunya dan bukan sepanjang masa. Itu yang membuatkannya lagi eksklusif.

“Ia adalah beting pasir bergantung kepada air surut dan juga keadaan langit. Anda boleh tengok pantulan sendiri umpama menghadap cermin. Kalau kena waktu dan masanya sangat cantik,” terang beliau lagi.

Beliau menambah, mungkin pelancong domestik tidak sedar adanya Sky Mirror. Sebab itulah Tourism Selangor menggunakan platform Matta Fair Selangor untuk menyasarkan pasaran domestik.

“Untuk pasaran luar negara, kami perlu bawa pakej yang sememangnya menarik dan mengikut pasaran negara tertentu dan pelancong di negara Jepun dan negara-negara di Asean sememangnya minat akan keindahan alam seperti ini,” katanya.