PENGUNJUNG kini berpeluang untuk mendalami ekosistem hutan yang lengkap - menjadi satu lagi sebab tambahan untuk berkunjung ke Awana, sebuah hotel lima bintang yang menyediakan padang golf 18 lubang yang teramat luas, pemandangan gunung-ganang indah, kolam renang yang mempunyai sistem pemanasan dan bermacam-macam jenis fasiliti sukan.

Dengan pengenalan tiga laluan jalan hutan baharu dan juga usaha untuk memulihara tumbuh-tumbuhan periuk dan buluh di Awana Bio Park, hutan hujan tropika yang sudah berusia lebih dari 130 juta tahun dan juga kaya dengan biodiversiti tersebut menggalakkan para pencinta alam untuk datang melawat dan meneroka keajaiban ekologi di sana yang jaraknya hanya 15 minit berjalan dari hotel.

Awana Bio Park memberi peluang kepada para pelawat untuk menikmati udara segar dan melangkah masuk menembusi bayang-bayangan hutan hujan Gunung Ulu Kali, dan juga kemudahan merungkainya dengan teknologi digital dan sosial media.

Pengurus Besar Awana Hotel, Isaaz Ishak Yunus, berkata, selain melindungi alam flora dan fauna, Awana Bio Park juga merupakan usaha Resorts World Genting untuk meningkatkan kesedaran mengenai betapa pentingnya biodiversiti.

"Dalam proses membangunkan resort ini, hanya 4% yang digunakan daripada kawasan sekeliling untuk proses pembangunan, ini demi menjaga keindahan hutan hujan tersebut. Kami percaya bahawa hutan tersebut boleh memupuk minat pengunjung terhadap alam semula jadi, lebih-lebih lagi melalui pengalaman-pengalaman yang kami tawarkan kepada mereka, seperti tersedianya kod bar yang boleh diimbas, lalu muncullah informasi dan fakta-fakta menarik mengenai tumbuh-tumbuhan yang ada,” katanya.

PEMBIMBING MAKLUMAT

Resorts World Genting bekerjasama dengan pakar alam semula jadi, Treks, untuk projek-projek yang melibatkan keseluruhan hutan bersama dengan Eddie Chan dan Pat Ang, yang akan membimbing dan juga berkongsi maklumat menarik dengan para pengunjung.

Kumpulan pakar tersebut juga akan tunjukkan kepada anda pokok-pokok langka, burung-burung eksotik dan juga spesies yang tidak biasa kita jumpa yang tersorok, selesa dalam bayang-bayang hutan, dalam masa sama melibatkan kecanggihan teknologi untuk pengalaman pembelajaran-penerokaan yang menyeronokkan.

Setiap laluan tersebut direka untuk menonjolkan aspek-aspek istimewa hutan gunung di Genting Highlands - sebuah ekosistem unik yang dibentuk oleh rupa bumi dan cuaca yang terletak antara 3,000-6,000 kaki (920-1830 meter) atas paras laut. Pertama sekali ialah Laluan Pemuliharaan, satu pusingan sepanjang 800 meter yang fokus pada flora Hutan Dipterokarp Atas (750-1,200 meter atas paras laut), biome yang kaya dengan tumbuhan-tumbuhan periuk, rotan, buluh montane, orkid liar, teratai kelawar hitam, semua tumbuh di bawah bayangan Strangler Fig dan pokok kayu gunung yang menjulang tinggi.

Untuk millennial yang jarang sekali berpeluang mendekati alam semula jadi, kawasan Pemuliharaan Tumbuhan Periuk ialah tempat yang agak menarik untuk melihat tumbuhan-tumbuhan karnivor. Pengunjung yang bertuah tentunya dapat melihat burung Hornbill.

Laluan Hutan Herba dan Laluan Biodiversity juga memberi fokus kepada biome Hutan Dipterokarp Atas, mengambil laluan yang lebih panjang (masing-masing 1.8km dan 2.7km) untuk melibat lebih banyak lagi rupa hutan hujan purba Gunung Ulu Kali.

Tarikan lain termasuk rumpun-rumpun buluh liar yang tebal, dan herba-herba hutan yang penuh dengan zat perubatan. Laluan Biodiversiti yang lebih panjang amat sesuai untuk bergambar, trek beralun yang menurun ke arah sebuah lembah dan sungai yang mengalir, diteduhi oleh pokok kayu gunung yang meninggi melintasi awan.

TIGA LALUAN BAHARU

Tiga laluan terbaharu tersebut juga menawarkan lima jenis pengembaraan yang boleh diadakan di hutan-hutan Genting Highlands, kesemuanya bakal mendedahkan aspek yang berbeza daripada hutan tersebut.

Hutan Wi-Fi bersama Shinrin Yoku merupakan pengalaman mendalam yang menggabungkan konsep Shinrin Yoku, iaitu penghargaan hutan secara kontemplatif dari Jepun bersama penggunaan aplikasi smartphone secara strategik untuk mendedahkan lagi kekayaan biodiversiti hutan hujan tersebut.

The Experience pula menggalakkan anda untuk menjadi lebih berani - menuruni papan yang diletak pada sudut 55 darjah menggunakan tali, hanya untuk menikmati keindahan hutan itu dari sebuah sudut yang berbeza. Apabila senja menjelma, mereka yang berani dan penuh dengan rasa ingin tahu boleh meneroka ke dalam kegelapan untuk menimba pengalaman waktu malam melalui sesi Pencarian Malam.

Selain kepelbagaian aktiviti yang ada, Resorts World Genting juga memperkenalkan Projek Pemuliharaan Buluh di Awana Bio Park. Hutan di sini sudah pun menjadi kediaman antara buluh-buluh yang tertinggi dan juga terkuat di dunia, projek tersebut bertujuan memulihara dan katalogkan bilangan rumpun buluh di Bio Park tersebut, seterusnya akan digunakan hanya untuk kegunaan lestari.

Kesemua jejak ini diselia oleh pembimbing pakar alam semula jadi yang bekerja mengikut temu janji dengan yuran RM75 seorang untuk Jejak Pemuliharaan (Conservation Trail), RM95 seorang untuk Hutan Herba (Herb Forest) dan RM135 seorang untuk Jejak Biodiversity (Biodiversity Trail). Sekumpulan bertiga adalah yang minimum untuk setiap laluan.

Pelawat hotel boleh membuat sebarang pertanyaan di kaunter penerimaan tetamu, sementara untuk sebarang penempahan luaran, boleh hubungi Trek Events di +60133993667 atau email [email protected] - S:A