PERSATUAN Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) akan menganjurkan Karnival Matta (Matta Fair) Selangor 2018, pada 27 hingga 29 Julai depan, dengan memfokuskan kepada peningkatan pelancongan domestik.

Matta Fair Selangor yang bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam akan diadakan di Taman Ekspo Agro Malaysia (Maeps), Serdang.

Pengerusi Matta Selangor, Datuk Syed Abdul Rahman Alhabshi berkata, acara yang julung kali diadakan itu akan menempatkan lebih 250 bilik pameran dalam ruang bersaiz 8,000m².

“Setakat hari ini kami menerima pertanyaan untuk 140 bilik pameran dan kami akan buka hingga 150 dan selepas ini, jika ada pertambahan kami akan menambah kepada jumlah asal. Kami menyewa hampir keseluruhan ruang ini.  

“Dengan adanya Matta Fair Selangor yang terdiri daripada ejen pelancongan berlesen tempatan, pameran pelancongan domestik seperti hotel dan pengendali taman tema serta pempamer antarabangsa, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung untuk mendapat maklumat mengenai tempat-tempat yang boleh dilawati di Selangor dan sekitarnya,” katanya pada sidang media di Maeps, kelmarin.

Matta Fair Selangor menyasarkan kira-kira 60,000 hingga 70,000 pengunjung menghadiri pameran pelancongan ini.

Syed Abdul Rahman, berkata Maeps dilihat sebagai lokasi yang sungguh strategik memandangkan kedudukannya mudah diakses oleh pengunjung dari Lembah Klang, sekitar Selangor dan Negeri Sembilan melalui perkhidmatan ulang alik yang disediakan di stesen Komuter Serdang KTM dan ERL Stesen Putrajaya.

Lebih 5,000 parkir kereta disediakan bagi mereka yang memandu ke Maeps.

Matta Fair Selangor adalah medium utama bagi mempromosikan pelancongan di negeri ini selaras dengan matlamatnya untuk meningkatkan ketibaan pelancong domestik dan dari luar negara.

“Selangor mempunyai banyak anugerah alam yang tidak ‘disedari’ oleh rakyatnya, sedangkan ia menjadi daya penarik pelancong asing dari negara luar terutamanya Eropah dan Jepun untuk berkunjung ke  tempat menarik di Selangor.

“Pernahkah kamu menjejakkan kaki ke Sky Mirror atau Langit Cermin di Kuala Selangor, pernah tak pergi ke Perigi Tujuh di Ulu Yam? Rasanya, tidak ramai masyarakat di negeri ini yang mengetahui akan kewujudannya,” katanya lagi.

Kongsinya, Langit Cermin ini hanya boleh didapati di Bolivia dan Selangor, dan sebagai rakyat Selangor, kita bertuah kerana Langit Cermin yang terdapat di Kuala Selangor itu mempunyai daya tarikan yang sangat istimewa berbanding di Bolivia.

Kerana itu, katanya, promosi yang lebih agresif perlu dilakukan supaya seluruh masyarakat di Selangor mahupun di Malaysia mengetahui akan tempat ajaib itu.

Sementara itu, Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Akbal Setia berkata, pelancongan domestik kekal sebagai sumber pendapatan terbesar bagi negara ini.

“Pada tahun 2016, Tourism Malaysia mencatatkan 66 juta pelancong domestik di seluruh Malaysia memberi pulangan kira-kira RM48 bilion kepada pendapatan negara.

“Kita sasarkan penduduk Selangor kerana penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya lebih gemar melancong dalam negeri sendiri.” katanya.

Menurutnya, fokus Tourism Malaysia pada Matta Fair Selangor kali ini lebih kepada produk-produk yang tidak dikenali ramai. Bukannya produk yang sudah dikenali ramai. Contohnya, Sky Mirror, Dining in the Dark (makan dalam tempat yang gelap) di sebuah restoran di Bukit Bintang dan Lata Berembun (yang dikatakan seperti The Lord of The Ring Malaysia) terdapat di Negeri Sembilan.