CYBERJAYA bukan sekadar hab teknologi global, malah ia telah berkembang menjadi bandar yang pesat, moden dan canggih. Ia juga terus menarik perhatian dengan inisiatif dan infrastruktur hijau di mana komuniti boleh bekerja, hidup, belajar serta bermain.

Setia Haruman Sdn Bhd (Setia Haruman), pemaju utama Cyberjaya masih bersungguh-sungguh dalam mengembangkan lagi Cyberjaya sebagai sebuah bandar yang lebih bertenaga dengan misi serta menjadikannya sebuah bandar yang mudah didiami, dengan kehijauan dan berkonsepkan bandar pintar.

Setia Haruman bekerjasama dengan Multimedia Universiti (MMU) untuk menganjurkan Cyberjaya Art Graffiti bersempena dengan Art Xpression Festival 2018 (AxF 2018) yang bertemakan “I Am Me”.

Bagi menggalakkan festival berfaedah seperti AxF 2018, Setia Haruman juga menyediakan tempat dan dana untuk pelajar-pelajar Multimedia Universiti yang mengambil bahagian dalam Cyberjaya Art Graffiti ini untuk mengekspresikan diri mereka pada lukisan seni.

Bagi memeriahkan lagi festival seni ini, pihak penganjur turut menampilkan penggiat seni antarabangsa seperti Fahla Fadhillah Lotan (Dilla) dan juga R. Bonar Diat Senan Putro (Otong) yang merupakan ahli ThedeoMIXBLOOD, sebagai pra pelancaran untuk AxF 2018.

Acara seperti ini adalah yang pertama kalinya diadakan di Cyberjaya diilhamkan dan dizahirkan oleh pelajar-pelajar Multimedia Universiti bertemakan lukisan yang futuristik dan kegembiraan.

“Dalam usaha bersama ini, penggiat-penggiat seni yang berpengalaman dibawakan oleh MMU telah ditugaskan untuk melakar satu karya yang akan mewarnai lagi serta menambahkan lagi daya tarikan kepada Cyberjaya.

"Ini adalah kali pertama kami melakukan seni grafiti di Cyberjaya dan kami berharap melalui ungkapan-ungkapan kreatif ini, pelajar akan dapat membina keyakinan dan harga diri.

"Cyberjaya Art Graffiti juga menyediakan pentas untuk mempamerkan bakat dan kemahiran dengan cara yang positif,” jelas Ahmad Soalahuddin, Ketua Bahagian Pembangunan Perniagaan Setia Haruman Sdn Bhd.

Pengasas Art Xpression Festival, Atiqah Jani, berkata mereka amat berbesar hati dengan penyertaan antarabangsa dalam festival ini.

"Dila dan Otong yang terbang dari Yogyakarta untuk menyertai festival seni ini, membawa pengalaman seni berharga mereka bersama dalam menjayakan pameran seni ini di seluruh dunia.

“Saya telah melawat Yogyakarta pada Januari tahun ini untuk melihat tempat-tempat dan juga idea-idea di mana seperti yang diketahui Yogyakarta terkenal dengan ekspresi seni jalanannya.

"Ia merupakan satu perjalanan yang memberi inspirasi kepada saya untuk melawat hasil kerja mereka sebelumnya yang dilakar untuk penduduk setempat yang dipanggil sebagai Jeblog Street Art dan saya telah dijemput untuk menyertai projek seni mereka yang diberi nama Don’t Sleep Away Oh Baby, Stay With Me.

Cyberjaya Art Graffiti bermula dengan 110 pelajar yang bekerjasama untuk menyiapkan 5 tanda “C” yang akan menghiasi kawasan-kawasan tarikan di Cyberjaya dan mural dinding yang dapat dilihat di The Launchpad iaitu ruang kerja bersama oleh Setia Haruman dan The Place, Cyberjaya.

Art Festival ini juga disertakan dengan aktiviti-aktiviti menarik seperti sesi open mic, sesi meet & greet dengan media sosial juga influencer fesyen, persembahan teater, bazar fesyen dan persembahan fesyen. Kehadiran gerai mudah alih makanan dan minuman atau food trucks ini juga menambahkan kemeriahan festival tersebut.