BERKAT aneka penerbangan tambang rendah yang wujud masa kini, penduduk dunia secara umum lebih mudah mengembara ke mana-mana pelosok bumi yang mereka ingini. Kita di Malaysia juga tidak terkecuali dengan adanya pelbagai penerbangan tambang rendah yang terbang masuk ke dalam dan dari Kuala Lumpur. Malah semakin hari semakin banyak destinasi yang ingin dilawati.

Salah sebuah negara yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pelancong Malaysia gara-gara penerbangan tambang rendah ini adalah New Zealand.

Negara kecil ini terletak bersebelahan Australia dan lebih dikenali oleh ramai orang sebagai negara yang mempunyai keindahan semula jadi yang menakjubkan. Oleh kerana itu juga, ia menjadi lokasi pilihan siri filem Lord Of The Rings dan juga The Hobbit.

Namun, ramai yang mungkin tidak tahu tentang ibu negara New Zealand sendiri, iaitu Wellington. Sebuah bandar raya yang agak kecil namun mempunyai tarikannya tersendiri.

Wellington merupakan kota kedua paling banyak penduduk di New Zealand selepas Auckland. Walau bagaimanapun untuk sampai ke Wellington, tiada penerbangan langsung dari Malaysia, jadi kebanyakan orang akan terbang ke Auckland ataupun Christchurch, kemudian dari salah satu kota tersebut terdapat banyak penerbangan murah ke Wellington.

Sejajar dengan kedudukan Wellington sebagai ibu negara New Zealand, pusat pentadbiran negara tersebut juga tertumpu di situ dan kawasan Parlimen New Zealand juga merupakan sebuah tempat yang sangat cantik untuk mengambil gambar!

Cara paling cepat untuk menjelajah Wellington adalah dengan menaiki perkhidmatan bas ‘Hop On Hop Off’ kota tersebut. Berbanding bas ‘Hop On Hop Off di kota-kota besar lain yang menggunakan bas dua tingkat, bas pelancong di Wellington ini menggunakan perkhidmatan bas kecil dengan jumlah penumpang yang tidak terlalu ramai. Namun ia lebih peribadi dan mudah untuk bertanya kepada pemandu pelancong.

Mount Victoria

Antara lokasi yang harus dilawati adalah Mount Victoria Lookout, yang merupakan tempat paling ideal untuk melihat keseluruhan kota Wellington dari puncak yang paling tinggi. Ia terletak di Gunung Victoria dan dikelilingi oleh rumah-rumah indah penduduk setempat.

Muzium Te Papa

Untuk mengenali budaya dan sejarah penduduk New Zealand pula, jangan lupa lawati Muzium Te Papa yang mempunyai banyak peninggalan sejarah serta informasi tentang asal-usul negara tersebut. Perjalanan ke muzium itu juga sangat menyenangkan kerana ia terletak berdekatan kawasan dermaga atau ‘waterfront’ yang cantik.

Zoo Wellington

Tidak ketinggalan juga adalah zoo Wellington yang bukan sahaja sebuah tarikan pelancongan, tetapi mereka juga mempunyai misi untuk menyelamatkan haiwan liar. Sebagai contoh, mereka menyokong persatuan pemeliharaan Free The Bears di mana mereka mempunyai beberapa Beruang Malaya di situ. Malah mereka satu-satunya tempat di New Zealand yang mempunyai beruang tersebut.

Mereka juga mempunyai sebuah hospital binatang iaitu ‘The Nest Te Kohanga’ yang merawat aneka haiwan liar. Para pengunjung boleh melihat sendiri prosedur rawatan yang dilakukan oleh doktor haiwan di zoo tersebut.

Zoo Wellington juga adalah satu-satunya tempat di mana anda boleh melihat burung kiwi pada waktu siang, walaupun mereka sebenarnya adalah burung yang aktif sebelah malam sahaja.

Lambton Quay

Untuk membeli-belah pula jangan lupa singgah ke kawasan Lambton Quay yang merupakan jalan utama serta pusat perdagangan Wellington. Pelbagai butik dan kedai terdapat di situ dengan ajnas produk menarik. Di situ jugalah di sebuah lorong kecil, letaknya pangkalan utama stesen kereta kabel Wellington. Kereta kabel ini mirip keretapi di Bukit Bendera Pulau Pinang yang membawa penumpang ke bahagian atas untuk melihat pemandangan sekitar.

Weta Workshop

Walau bagaimanapun, tempat paling menarik dan harus dilawati di Wellington adalah bengkel WETA yang juga dikenali sebagai Weta Workshop. Ia merupakan sebuah bengkel atau studio di mana banyak kesan khas ‘watak-watak’ filem direka dan dicipta. Selain watak-watak filem Lord of The Rings dan Hobbit, mereka juga menghasilkan ratusan produk dengan kesan khas untuk filem-filem Hollywood lain.

Di sini anda dapat menyaksikan apa yang berlaku di belakang tabir dalam pembikinan watak, topeng, pakaian, senjata, model bangunan dan macam-macam lagi ‘props’ atau peralatan yang digunakan dalam filem Hollywood sebenar! Terdapat juga lawatan khas ke studio yang membuat pembikinan siri animasi patung kanak-kanak, Thunderbirds yang sudah wujud sejak lewat 70-an. Tarikan pelancong ini boleh dianggap eksklusif dan tidak terdapat di tempat lain.

Kredit: Terima Kasih Wellington Regional Economic Development Agency (WREDA)