DIANGGARKAN kira-kira 22,000 tiket perlawanan separuh akhir Piala Malaysia membabitkan pasukan Perak menentang Johor Darul Ta'zim, Ahad ini, terjual, hari ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Ahmad Shahrul Azhar Sofian berkata, hampir 80 peratus daripada 28,000 tiket yang disediakan untuk penyokong terjual pada hari pertama setakat ini.

Katanya, sambutan yang diberikan peminat amat menggalakkan jualan selebihnya akan diteruskan sehingga hari perlawanan.

"Alhamdulillah sambutan begitu hangat. Tiket-tiket yang dijual di beberapa lokasi di Perak juga habis. Jadi esok (hari ini) kita akan jual bakinya sehingga hari perlawanan jika ada," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Kaunter penjualan tiket perlawanan separuh akhir Piala Malaysia di antara Perak dan Johor Darul Ta'zim mula dibuka seawal jam 9 pagi hingga 5 petang di Stadium Perak serta beberapa lokasi di seluruh negeri.

Hari ini, lima lokasi terpilih bagi jualan tiket tersebut ialah Stadium Mini Slim River, Stadium Mini Teluk Intan, Stadium Mini Astaka Sitiawan, Stadium Mini Bagan Serai dan Kaunter Tiket Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar.

Difahamkan setiap lokasi di luar Ipoh diperuntukkan sebanyak 1,000 tiket dan jualan tiket di daerah akan diteruskan esok di Stadium Tun Ahmad Sarji, Tapah, Stadium Mini Parit, Pejabat Daerah dan Tanah Larut Matang dan Selama, Taiping serta Stadium Mini Gerik.