KELAB Liga 1 Indonesia, Persija Jakarta mempunyai misi besar apabila turun bertemu pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi perlawanan Kumpulan H Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini, malam esok.

Penyerangnya Rudi Widodo berkata mengutip satu mata daripada perlawanan itu sahaja tidak  cukup  kerana jika boleh, mereka mahu menewaskan JDT di depan peminat mereka sendiri.

“Kami telah sepakat untuk tidak akan kalah kerana kami ada Bambang Pamungkas. Dia adalah pemain contoh dan pemain terbaik di negara kami dan dari dia, kami mendapat motivasi yang banyak agar tidak cepat gentar dan berusaha lebih keras,” kata Rudi dalam sidang media praperlawanan di sini, hari ini.

Seperti Rudi, Ketua Jurulatih Persija, Alesandro Steffano Cuggura Rodrigues juga senada dalam hal itu.

Beliau berkata ketiadaan penyerang sensasi mereka Marko Simic bukan  penghalang  untuk  kelab  mereka mencipta kejutan kerana pihaknya tidak hanya meletakkan harapan jaringan gol pada Simic semata-mata malah meliputi kesemua pemain.

“Simic sebelum ini pernah bermain bersama Negeri Sembilan dan Melaka, dia juga pernah menentang JDT jadi kita mempunyai maklumat yang cukup tentang corak permainan pasukan lawan.

Akan tetapi, semua pemain JDT adalah pemain yang hebat dan oleh itu, saya telah menasihatkan pasukan agar berhati-hati dengan penyerang pasukan JDT,” katanya.

Beliau juga berkata biarpun sudah 16 tahun Persija tidak beraksi di persada AFC namun ia tetap mahu berusaha keras bagi mengutip sekurang-kurangnya keputusan seri.

Sementara itu, kapten pasukan Harimau Selatan, Safiq Rahim berkata kelebihan bermain di tempat  sendiri akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pemain esok bagi melakarkan kemenangan bergaya.

“Bila kita bermain di tempat sendiri, motivasi kita lebih tinggi. Namun, kita perlu fokus dalam perlawanan ini kerana mana-mana perlawanan awal amat penting untuk pasukan. Siapapun yang diturunkan untuk bermain esok, mereka adalah wakil yang terbaik untuk JDT.

“Tambahan, Persija juga merupakan salah satu pasukan terbaik dan besar di Indonesia, mereka ada kekuatan dan kelemahan mereka sendiri dan kita tidak boleh memandang rendah kepada kekuatan mereka,” katanya. - Bernama