MERSING - Usaha keras anak jati Mersing melalui perniagaan pembuatan jam tangan jenama tempatan sejak beberapa tahun lalu membuahkan hasil.

Mohd Rasul Kushairi Mustapha yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Moras Group menerima Anugerah Kepimpinan Industri sempena Malam Anugerah Personaliti Industri dan Usahawan Malaysia 2018 anjuran Niaga Times, baru-baru ini.

Menurut Mohd Rasul, ketika dicalonkan, beliau menjangkakan cukup sekadar tercalon kerana merasa syarikatnya itu masih terlalu baharu jika dibandingkan dengan usahawan lain.

“Anugerah ini saya hadiahkan untuk keluarga besar Moras Group dan keluarga tercinta saya terutama isteri, Nor Ashikin A Razak yang menyokong tanpa henti.

“Saya bersyukur kerana ketika permulaan perjalanan Moras, kita menerima pengiktirafan ini. Ini sebagai peniup semangat,” katanya.

Menurutnya, tiada sebarang rahsia atas kejayaannya sebaliknya hanya usaha dan berani mencuba.

“Secara peribadi ini pengiktirafan atas usaha membangunkan Moras Group di mana saya percaya pada rezeki ALLAH.

“Apa yang penting niat itu yang perlu dibetulkan, tolak pandangan negatif dan jangan ambil kira kata-kata tak elok. Sebab kata-kata negatif ini kalau kita layankan memang kita tak akan ke mana,” katanya.

Berpeluang duduk semeja dan bertemu ramai usahawan berjaya dari seluruh negara, Mohd Rasul akui merebut ruang yang ada dengan berkongsi pandangan.

“Banyak saya belajar dalam tempoh itu dengan ramai usahawan dan saya sempat bertanya resipi kejayaan mereka,” katanya.