SEPASUKAN lima orang pendaki dari Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) berjaya menawan puncak ketiga tertinggi Asia Tenggara pada jam 6.30 pagi tadi.

Pasukan terbabit mengambil masa kira-kira empat jam pendakian sebelum berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu yang terletak di ketinggian 4,095 meter dari aras laut bagi mengibarkan bendera ‘MyIPO15’.

Ketua misi ‘Road To MyIPO15’, Azlikhairul Abu Hasan Shaari berkata, misi mereka untuk menawan puncak gunung terbabit yang tertinggi di Malaysia bermula pada hari Isnin selepas menerima bendera sambutan ulangtahun ke-15 MyIPO itu dari ketua pengarah MyIPO Dato’ Shamsiah Kamaruddin di Kuala Lumpur.

“Objektif utama kami dalam melaksanakan pendakian ini adalah untuk mempromosikan MyIPO sebagai organisasi yang bertanggungjawab melindungi harta intelek di Malaysia sejak ia ditubuhkan 15 tahun lepas.

“Selain dari itu, kami juga mahu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan MyIPO serta mengajak mereka untuk sama-sama mengunjungi Karnival Harta Intelek yang akan diadakan di Paradigm Mall, Petaling Jaya pada 3 dan 4 Mac ini,” katanya ketika dihubungi tengahari tadi.

Selain Azlikhairul yang merupakan penolong pegawai dari Bahagian Komunikasi Korporat MyIPO, empat lagi anggota perbadanan itu yang menyertai ekspedisi terbabit adalah penolong pengarah Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa MyIPO Noor Mohamad Hazman Hamid, ketua cawangan MyIPO Sabah Mohamed Noh Dzulnashriq Abdul Hamid, ketua unit Bahagian Kejuruteraan Paten Mohd Zaki Zakaria, dan penolong pegawai harta intelek Norizam Amdan dari Bahagian Khidmat Pengurusan.

Mengulas mengenai misi mendaki yang bermula jam 2.30 pagi tadi, Azlikhairul berkata mereka menghadapi sedikit kesukaran kerana hujan lebat dan angin kuat selepas kira-kira dua jam pendakian.

“Namun alhamdulillah, berkat kerjasama dan tiupan semangat dari rakan-rakan kami berjaya juga ke puncak dan menyelesaikan amanah bagi meletakkan bendera MyIPO15 ini di puncak ketiga tertinggi di Asia Tenggara.

“Sekarang kami dalam perjalanan turun ke kaki gunung, dan terpaksa bergerak agak perlahan kerana hujan masih turun dengan lebat. Semoga dengan izin ALLAH, kami akan sampai dengan selamat,” kata Azlikhairul ketika dihubungi melalui WhatsApp kira-kira jam 3.15 petang.

Sementara itu, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat MyIPO, Akhtar Sahari, berkata, perbadanan itu berasa bangga dengan kejayaan pasukan pendaki MyIPO15 dan menyampaikan ucapan syabas kepada mereka.