PERAK akan mengubah jadual latihan pasukan pada sebelah malam di sepanjang bulan Ramadan kali ini.

Ketua jurulatihnya, Mehmet Durakovic berkata, perubahan berkenaan dibuat demi menghormati bulan Ramadan selain memastikan kecergasan pemain tidak terjejas.

“Sepanjang Ramadan kali ini, kita ubah sikit jadual latihan iaitu kita akan berlatih pada sebelah malam.

“Ini sebagai persediaan kerana kita akan harungi lima perlawanan termasuk tiga perlawanan di luar Perak pada bulan puasa kali ini,” katanya.

Durakovic berkata demikian bagi mengulas pandangan penyokong berhubung jadual perlawanan yang perlu diharungi skuad The Bos Gaurus itu sepanjang bulan Ramadan kali ini.

“Sebagai pemain dan jurulatih saya lalui pengalaman beraksi dalam bulan puasa. Cuma sedikit perubahan  pada waktu latihan iaitu, kita akan adakan latihan pada waktu malam,” katanya.

Durakovic berkata demikian bagi mengulas berhubung isu aksi saingan Liga Malaysia yang tetap diteruskan walaupun pada bulan Ramadan.

Sementara itu Durakovic berkata, pihaknya tidak  berdepan masalah meneruskan aksi pada Ramadan kali ini.

Malah katanya, beraksi dalam bulan puasa bukan satu perkara baharu buatnya kerana pernah melalui situasi berkenaan sebelum ini.

“Tidak ada masalah untuk beraksi pada bulan puasa.  Saya juga berpuasa dan pemain lain beragama Islam juga berpuasa.

“Malah ada banyak negara yang meneruskan saingan liga pada bulan puasa seperti di Arab Saudi dan juga beberapa negara di Timur Tengah,” katanya.