PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu juara Keirin Dunia, Azizulhasni Awang menjadi role model (contoh ikutan) rakyat Malaysia khususnya golongan muda dalam bidang sukan.

Beliau berharap pencapaian Azizulhasni akan mendorong rakyat Malaysia mengambil bahagian dengan lebih cergas dalam bidang sukan.

“Mudah-mudahan saudara Azizulhasni boleh menjadi ikon sebab dia berkebolehan bertutur dengan baik, mempunyai personaliti yang baik dan orangnya pun baik.

‘Saya  yakin saudara Azizulhasni akan menjadi role model khususnya kepada golongan muda,” katanya pada majlis penyampaian  seunit suite kediaman sumbangan Naza Corporation Holdings kepada Azizulhasni di Seri Perdana di sini semalam.

Mengenai sumbangan Naza Corporation Holdings, Najib berkata, ia penghargaan sektor korporat terhadap sumbangan Azizulhasni yang mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa dalam bidang sukan.

Pada majlis itu, Najib menyampaikan replika kad akses suite kediaman di Trion 888 kepada Azizulhasni. Hadir sama ialah Pengerusi Kumpulan Naza TTDI, SM Nasarudin SM Nasimuddin.

Suite kediaman di Trion 888 dengan harga RM350,000 yang terletak di Equine Park, Seri Kembangan adalah projek pembangunan Naza TTDI Sdn Bhd dan dijangka siap pada hujung tahun ini.

Sebelum ini, pemenang pingat emas di Sukan Paralimpik Rio 2016 iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romli turut menerima suite kediaman di Trion 888.

Sementara itu, Azizulhasni yang baru tiba dari Melbourne pagi semalam berterima kasih kepada perdana menteri dan Kumpulan Naza kerana tampil memberi penghargaan dengan menghadiahkan imbuhan  tersebut.  - Bernama