PENGENDALI Pahang, Dollah Salleh dilihat cuba bermain perang psikologi apabila mengakui sedikit khuatir dengan kemampuan pasukannya yang dibarisi ramai pemain muda berbanding Kedah yang memiliki pemain berpengalaman dalam aksi akhir Piala FA, malam ini.

Namun, jurulatih penuh berpengalaman itu yakin pemainnya mampu menunjukkan persembahan terbaik sekali gus menidakkan cabaran Lang Merah untuk merangkul trofi yang kali terakhir dimenangi Tok Gajah pada 2014.

“Bagi saya Kedah ada kelebihan kerana mereka agak konsisten dan dah banyak kali ke final. Dalam tempoh lima bulan saya kendalikan Pahang, masih banyak kelemahan yang saya lihat.

“Tetapi, saya yakin kami mampu cipta kejutan ke atas Kedah selain pemain cukup bersemangat untuk berada di final,” katanya.

Bercakap mengenai peluang menjuarai Piala FA, Dollah sama sekali tidak menolak kemungkinan peluang untuk muncul juara masih terbuka luas antara kedua-dua pasukan.

Menurutnya, beliau akan menerapkan elemen yang sedikit berbeza dari kebiasaan dalam pasukan Tok Gajah itu.

“Bagi saya, Kedah banyak bergantung di bahagian tengah dan kita banyak bergerak di bahagian serangan. Apa yang penting adalah fokus pemain dalam perlawanan esok. Itu akan menentukan kejuaraan,” katanya.

Sementara itu, Dollah turut memberikan bayangan akan menurunkan pemain import baharu Yamil Romero dalam perlawanan malam ini.

Jelasnya, pemain kelahiran Argentina itu bakal menjadi tonggak penting dalam kesebelasan utama pasukan.

“Dalam tempoh dua minggu dia bersama kami, bagi saya dia berbakat dan ada skill. Saya yakin dia boleh lakukan sesuatu esok (malam ini) untuk pasukan,” katanya.