HASRAT pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah untuk mengutip mata di Grand Prix (GP) Sepanyol tidak kesampaian selepas terbabas dan gagal menamatkan perlumbaan sehingga ke garisan penamat.

Pada perlumbaan di Litar Catalunya itu malam tadi, Hafizh Syahrin yang bernaung di bawah pasukan Monster Yamaha Tech 3 itu terjatuh di selekoh empat ketika berbaki empat pusingan dalam perlumbaan yang menyaksikan hanya 14 pelumba menamatkan saingan itu.

Ia pastinya mengecewakan pelumba berusia 24 tahun itu kerana dia terjatuh ketika berada di posisi kesembilan sekali gus terus kekal dengan keseluruhan 17 mata daripada tujuh perlumbaan.

“Pada mulanya saya bermula dengan baik namun saya melakukan kesilapan akhirnya terbabas. Sejujurnya saya kecewa dan marah dengan apa yang berlaku.

"Tapi apa yang terjadi beri pengajaran buat saya dan saya akan cuba kembali dengan lebih kuat pada perlumbaan akan datang.

"Saya minta maaf kepada pasukan, penaja serta semua pihak yang sentiasa berada di belakang saya. Saya janji akan bangkit dan meraih keputusan positif selepas ini," katanya.

Hafizh dijangka akan menebus semula kelemahannya itu pada pusingan seterusnya di Belanda pada 1 Julai nanti.

Pada perlumbaan itu, pelumba Ducati dari Sepanyol, Jorge Lorenzo mengekalkan tunggangan cemerlang apabila meraih dua kemenangan berturut-turut dalam kariernya selepas mendahului perlumbaan dari mula sehingga garisan penamat.

Juara dunia tiga kali itu melakukan catatan 40 minit 13.56 saat untuk menamatkan saingan di hadapan pelumba Repsol Honda, Marc Marquez dan pelumba Movistar Yamaha Valentino Rossi apabila masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.

Kali terakhir Lorenzo yang turut merangkul gelaran GP Itali awal bulan ini meraih kemenangan berganda ialah pada GP Le Mans dan Mugello pada 2016.