PENYERANG Sevilla, Wissam Ben Yedder menyifatkan kemenangan ke atas Manchester United dalam saingan Liga Juara-Juara di Old Trafford, awal pagi tadi adalah detik indah yang tidak akan dilupakan.

Ben Yedder yang masuk dari bangku simpanan diangkat sebagai wira selepas membantu pasukannya mengejutkan United 2-1 pada perlawanan kedua pusingan 16 itu.

Keputusan itu hadir selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 dalam perlawanan pertama dan Ben Yedder gembira membawa pasukannya mara ke suku akhir buat kali pertama dalam pertandingan kelab terbaik Eropah itu.

“Saya gembira, sangat gembira. Ini malam yang indah. Kami tahu ia bukan mudah menentang Manchester United terutama di Old Trafford.

“Saya tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan emosi saya. Ia adalah impian sejak kecil untuk menang dengan pemain ternama, pasukan besar seperti Manchester United.

“Kami mengecap kejayaan ini. Kami mencipta sejarah kelab, ini kali pertama kami mara ke suku akhir Liga Juara-Juara,” kata pemain Perancis itu.

Sementara itu, pengendali Sevilla, Vincenzo Montella memuji aksi cemerlang pemainnya yang berjaya mengetepikan pasukan besar seperti United.

"Sekalipun hakikatnya kami tidak banyak mencipta peluang pada babak pertama, kami amat bagus hingga suku ketiga dan kami tidak memberikan United peluang di depan gol kami.

“Kami amat cemerlang, terlalu bagus. Ramai pemain saya memperagakan aksi terbaik dalam karier mereka," katanya.

Sevilla, yang menghuni tangga kelima La Liga, tidak pernah layak ke suku akhir Liga Juara-Juara sebelum ini, sekalipun mereka layak ke suku akhir Piala Eropah pada 1958.