PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan mengadakan Kongres Agung Tahunan ke-63 lebih awal iaitu pertengahan bulan depan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Ismail Md Noor berkata kongres diadakan bagi memilih presiden dan barisan exco baharu Kafa untuk sesi 2018-2021.

“Penggal jawatankuasa eksekutif sepatutnya berakhir tahun depan tetapi Kafa memilih untuk memperawalkan pemilihan bagi membuat persiapan untuk menyediakan pasukan bagi musim hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kini Datuk Seri Afandi Hamzah menggalas jawatan Pemangku Presiden Kafa selepas Tan Sri Annuar Musa melepaskan jawatan Presiden tahun lepas.

Ismail berkata notis berhubung kongres tersebut akan dikeluarkan minggu depan selepas jawatankuasa eksekutif persatuan bersidang dalam masa terdekat bagi memenuhi Artikel 27 Pecahan 2 Perlembagaan Kafa.

Beliau turut meminta kelab-kelab gabungan untuk mencalonkan individu yang layak dan berkemampuan bagi mengendalikan persatuan itu untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan Kelantan sebagai antara gergasi bola sepak negara. - Bernama