PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) membuka tawaran kepada mana-mana individu untuk menerajui badan induk bola sepak negeri itu bagi penggal 2017-2021.

Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md Noor berkata, individu yang berkelayakan dialu-alukan mengetuai kepimpinan baharu persatuan itu, sekali gus diharapkan mampu memulihkan maruah bola sepak Kelantan dalam tempoh empat tahun akan datang.

“Saya merayu kepada penyokong, peminat, ahli kelab dan seluruh rakyat Kelantan yang sayang bola sepak negeri ini agar tampil menawarkan diri untuk mengambil alih jawatan dalam barisan kepimpinan baharu itu nanti,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Kongres Agung Tahunan Kali ke-63 Kafa dijangka diadakan pada pertengahan bulan depan dengan tumpuan kini terarah kepada jawatan presiden yang dikosongkan Tan Sri Annuar Musa, sejak akhir tahun lalu.

Annuar melepaskan jawatan tersebut, 8 November tahun lalu, dan kekosongan tersebut dipangku timbalannya, Datuk Seri Afandi Hamzah sehingga sekarang.