TAMAT sudah perlawanan melibatkan Korea Selatan dan pasukan muda negara dengan keputusan memihak jaguh Asia itu dalam perlawanan sengit di Stadium Kunshan, China.

Tidak dinafikan memang berasa agak kecewa apatah lagi dikejutkan dengan jaringan awal Cho Jae-Wan pada minit pertama permainan. Namun, skuad muda negara tidak sedikit pun menunjukkan rasa mahu menyerah kalah.

Malah, tidak salah sekiranya penulis mengatakan Malaysia lebih baik dalam separuh masa pertama. Selepas ketinggalan, skuad Datuk Ong Kim Swee menyusun kembali permainan malah beberapa kali mengancam kubu lawan.

Separuh masa kedua, tempo permainan Malaysia masih sama, bertahan sebagai satu unit dan sesekali menyerang, mencemaskan benteng pertahanan Korea Selatan termasuk penjaga gol mereka juga.

Pemain seperti Nor Azam Azih, Muhammad Safawi Rasid hatta Matthew Davies sekalipun banyak mengkucar-kacirkan pertahanan lawan yang mempunyai fizikal lebih baik berbanding pemain negara.

Kemasukan N Thanabalan sedikit menajamkan barisan depan Malaysia malah pemain berasal dari Negeri Sembilan itu berjaya menjaringkan gol penyamaan pasa minit ke-67 sebelum Seung-Gyu Han memastikan kemenangan pasukannya dengan jaringan pada minit ke-85.

Seharusnya kita bangga dengan pencapaian anak muda bimbingan Kim Swee kerana bukan saja melakukan kejutan demi kejutan, malah merekalah pelapis bola sepak Malaysia kelak.

Beberapa pemain dilihat sangat menyerlah dalam kejohanan kali ini seperti Dominic Tan, Muhammad Safawi, Nur Azam, Muhammad Akhyar Rashid, Adam Nor Azlin, Irfan Zakaria dan beberapa pemain lain.

Kecemerlangan mereka memberi gambaran kejayaan yang boleh dikecapi pasukan senior negara beberapa tahun dari sekarang. Jika mereka kekal berdisiplin, tingkatkan kualiti permainan maka tidak mustahil Malaysia mampu terus maju dalam sukan ini.

Prestasi pemain semasa menentang Korea Selatan banyak meningkat. Mereka berani memegang bola, berani menggelecek lawan malah hantaran jauh juga seringkali mengundang cemas kepada benteng lawan.

Mungkin perjalanan mereka tamat di tangan Korea Selatan namun perjuangan perlu diteruskan. Ada banyak lagi kejohanan dan perlawanan perlu ditempuh dalam usaha meningkatkan kualiti mereka.

Biarpun anak muda ini kalah petang tadi, namun mereka menang di hati rakyat. Jutaan rakyat Malaysia bersorak riang meraikan gol Thanabalan, jutaan rakyat mengagumi semangat juang mereka.

Dalam keasyikan kita bercerita suka duka perjalanan pemain negara, di kesempatan ini penulis ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada sekumpulan kecil Ultras Malaya yang hadir dalam semua perlawanan di China.

Dari kaca televisyen, suara mereka boleh didengari, sentiasa bersemangat meniupkan api perjuangan kepada pemain negara.

Meskipun terdapat beberapa isu melanda Ultras Malaya sebelum ini, tidak boleh dinafikan mereka antara penyokong fanatik pasukan negara.

Terima kasih Malaysia, terima kasih Ultras Malaya, terima kasih rakyat Malaysia.

Bangkit terus Harimau Malaya. Selagi hidup selagi itulah melawan!