PEMAIN beregu lelaki negara, Goh V Shem enggan mengalah sebelum berjuang apabila turun menentang pilihan kelima dari Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda pada pusingan pertama Kejohanan Badminton All England, esok.

Walaupun akui lawan merupakan gandingan yang kuat, tapi V Shem berkata, dia dan Tan Wee Kiong perlu berfikiran positif dan lebih fokus.

"Memang agak mencabar kerana perlu berdepan pasangan pilihan kelima dari Jepun di pusingan pertama lagi.

"Tapi, kami tidak boleh mengalah dengan mudah hanya kerana rekod pertemuan yang lebih memihak pasangan lawan.

"Apa yang penting adalah fokus dan elak buat kesilapan yang boleh memberi peluang kepada lawan mengutip mata," katanya.

Berdasarkan rekod pertemuan, kelebihan memihak kepada pasangan Jepun itu yang melakar empat kemenangan daripada enam pertemuan ke atas V Shem-Wee Kiong.

Mengulas mengenai sasaran di All England, pemain berusia 29 tahun itu enggan meletakkan harapan yang tinggi sebaliknya cuba memberikan yang terbaik.

"Saya tidak mahu memikirkan terlalu banyak kerana ia merupakan kejohanan yang sangat penting. Lagipun kami juga akan bertemu pasangan Jepun dan harus diakui mereka gandingan yang sangat kuat serta konsisten.

"Jadi lebih baik rasanya fokus kepada satu demi satu perlawanan," tambahnya lagi.