PERSATUAN Angkat Berat Kedah Darul Aman mahu menjadikan Indonesia dan Thailand sebagai rujukan di dalam melahirkan atlet angkat berat bertaraf antarabangsa di negeri tersebut.

Presidennya, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, dua negara tersebut sudahpun melahirkan atlet angkat berat di pentas Olimpik dan seharusnya ia menjadi pemangkin semangat buat Malaysia dan Kedah untuk meletakkan sasaran yang sama.

Menurutnya, program pencarian bakat yang digerakkan oleh pihaknya bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah dan Majlis Sukan Negara kini berada pada fasa pertama.

"Dalam rantau ini, Indonesia dan Thailand telah melahirkan bintang dalam acara angkat berat di pentas Olimpik 2016 malah berjaya meraih pingat.

"Saya fikir kita juga mampu melakukannya kerana memiliki bentuk badan, cara makan dan berada dalam benua yang sama. Tidak mustahil untuk melihat Malaysia mampu melahirkan bintang Olimpik yang meraih pingat suatu hari nanti," katanya kepada Sinar Harian selepas Perasmian Program Pencarian Bakat Kedua di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Anum Tunku Abdul Rahman, hari ini.

Mohd Rawi berkata, Kedah akan rugi jika tidak menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Angkat Berat Thailand kerana bersempadan dengan negara tersebut.

Menurutnya, negara Gajah Putih itu mempunyai kira-kira 70 pusat latihan angkat berat dan yang paling hampir dengan negeri tersebut adalah di Patalong.

"Selepas kita sudah mempunyai kelompok atlet di Kedah, satu kerjasama membuat latihan bersama dengan pasukan Thailand akan diadakan untuk lihat, belajar dan cuba untuk mengorek rahsia-rahsia kejayaan mereka nanti," katanya.