KEGAGALAN menurunkan beberapa pemain utama selain faktor kepenatan menyaksikan Kedah terpaksa berpuas hati dengan satu mata apabila seri 1-1 dengan Selangor pada saingan Liga Super ke-16 di Stadium Darul Aman, kelmarin.

Pengendalinya, Mohd Nidzam Adzha Yusof mengakui pemain-pemainnya juga sudahpun berusaha memberikan aksi yang terbaik untuk memburu tiga mata penuh di laman sendiri.

Menurutnya, deretan peluang keemasan yang diperolehi oleh pasukannya turut gagal dimanfaatkan sebaik mungkin selepas sebahagian besar perlawanan berjaya didominasi oleh mereka.

"Kita tahu dalam tempoh dua minggu ini pemain sudahpun berdepan perlawanan kelima jadi itu sahaja yang mereka mampu beri cuma kita agak kecewa kerana tidak memperolehi tiga mata penuh.

Situasi juga tidak memihak apabila pemain sudah letih untuk membuat keputusan akhir apabila berada di dalam kawasan kotal penalti lawan, keputusan kurang tepat menyebabkan pemain gagal menjaringkan gol," katanya pada sidang media.

Pada waktu yang sama, taktik bertahan yang digunakan oleh The Red Giant turut menyukarkan barisan penyerangnya membuat percubaan.

Jelas Mohd Nidzam Adzha, apa yang telah dipamerkan oleh pasukan pelawat sepanjang perlawanan berlangsung sudahpun diduga oleh pihaknya.

"Kita memang agak lawan akan datang sekurang-kurangnya untuk memungut  satu mata, apapun tahniah kepada Selangor.

Taktik mereka memang dijangka kerana meletakkan lima pertahanan dan tiga di bahagian tengah namun kita tetap mampu mencipta peluang cuma gagal menjaringkan gol," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui tidak menurunkan sebahagian besar pemain Piala Presiden Kedah kerana keputusan semasa pada separuh masa kedua belum memihak kepada pasukannya membuat pertukaran.

Bagaimanapun, Kedah tepaksa melakukan pertukaran dengan mengeluarkan Muhd Hanif Mat Dzahir yang dilihat gagal untuk meneruskan permainan dan membawa masuk penyerang muda dari skuad Piala Presiden Kedah, Akmal Azmi pada minit ke-81.